Makanan Halal Di Olimpik

Penglibatan Malaysia dalam penyediaan dapur halal semasa penganjuran Sukan Olimpik Musim Sejuk PyeongChang 2018 di Korea Selatan yang bermula 9 Februari nanti bakal memperkasakan logo halal negara ini di persada dunia.

Malah, lebih mem­banggakan apabila sajian halal itu pertama kali dipraktikkan selepas 70 tahun penganjuran sukan ber­kenaan.

Pengarah Strategi Korporat dan Kewangan Mamee-Double Decker (M) Sdn. Bhd. (Mamee), Vuitton Pang Hee Cheah berkata, penyediaan dapur halal itu merupakan kerjasama antara syarikat gergasi makanan Korea Selatan, Shinsegae Food Inc. dan pihak­nya.

Susulan kerjasama itu, Mamee diberi kepercayaan untuk menyedia dan menyelenggara dapur halal bagi memenuhi keperluan makanan kepada 176 atlet Muslim yang terlibat.

“Ini kali pertama Malaysia ada wakil dalam penganjuran sukan berkenaan dan penyediaan makanan halal itu turut disertai oleh tukang masak Malaysia iaitu Chef Faizul Hazly.

“Mamee juga melakar sejarah tersendiri apabila terlibat secara langsung dalam penyediaan dapur halal sempena penganjuran sukan tersebut selepas 47 tahun penubuhan. Ini membuktikan produk keluaran kita memang dijamin halal,” katanya dalam sidang akhbar mengumumkan penglibatan Malaysia dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk PyeongChang 2018 di Seoul, baru-baru ini, lapor Utusan

Menurut Hee Cheah, pihak penganjur bukan sahaja menga­singkan ruang simpanan barang, dapur dan peralatan memasak malah mengkhususkan penyedia­an alatan hidangan untuk atlet muslim.

Jelas beliau, dapur berkenaan juga akan beroperasi selama 24 jam bagi memastikan bekalan makanan halal sentiasa mencukupi di samping memastikan 6,000 ki­logram daging ayam dan lembu diimport dari negara yang diyakini.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee membe­ritahu, ruangan dapur halal yang disediakan sempena penganjuran itu juga memenuhi prosedur operasi standard (SOP) halal yang ditetapkan pihaknya.

Katanya, penglibatan Jakim bersama pihak Mamee dan Shinsegae Food juga dilihat signifikan sekali gus membuktikan logo halal Malaysia terus dimartabatkan masyarakat antarabangsa.

“Mamee telah membuka ruang dan meluaskan jangkauan bagi memudahkan pengguna khususnya umat Islam mendapatkan makanan yang dipersijilkan halal dan Jakim sentiasa membuka ruang kepada mana-mana industri di peringkat antarabangsa untuk bersama dalam industri halal,” jelasnya.

Tambah Sirajuddin, gabungan dua syarikat gergasi itu juga memberi impak positif dalam industri makanan khususnya produk yang dikeluarkan Shinsegae Food kerana ia dapat dipersijilkan halal dan memenuhi skim antarabangsa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.