Mahathir Nak Perintah Negara Tapi Gagal Kawal Parti Sendiri – Abdul Hadi

ARAU – PAS hari ini menyindir parti pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad apabila gagal mengurus soal pengagihan kerusi dalam PPBM sehingga mencetuskan pergaduhan sesama sendiri semalam di Negeri Sembilan.

Justeru ujar Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bagaimana Dr Mahathir mahu mentadbir negara, sedangkan beliau sendiri gagal mengawal hal ehwal dalaman partinya.

“Biar mereka (PPBM) sendiri selesaikan masalah mereka. Cuma apabila sebelum pilihan raya sudah bergaduh bagaimana hendak membentuk kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis pecah tanah Kompleks Pendidikan Ibnu Aqil di Kampung Kubang Siput, Jalan Kodiang- Pauh di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai tindakan sekumpulan ahli PPBM Negeri Sembilan yang membuat kecoh semasa Konvensyen Pakatan Harapan (PH) negeri itu semalam selepas tidak berpuas hati dalam soal pengagihan kerusi dalam gabungan tersebut.

Dalam masa sama, Abdul Hadi juga mengingatkan Dr. Mahathir supaya menyelesaikan terlebih dahulu masalah dalaman mereka sebelum menyindir hasrat Pas untuk bertanding di 130 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebagai angan-angan Mat Jenin.

Yang turut hadir, Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin; Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pesuruhjaya PAS negeri, Mohd. Shukri Ramli.

Semalam sekumpulan ahli PPBM Negeri Sembilan membuat kecoh selepas tidak berpuas hati hanya diberikan enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk bertanding dalam PRU-14 di negeri itu.

Ahli-ahli PPBM tersebut dalam sidang akhbarnya selepas itu menjelaskan mereka dengan tegas menolak penjelasan Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang meminta mereka berkompromi dalam agihan kerusi yang akan ditandingi parti itu pada PRU-14.

Ketua Pemuda PPBM negeri, Mohd. Sharul Anuar Abu Samah dilaporkan berkata, parti itu hanya diberikan enam kerusi DUN yang dianggap berstatus ‘hitam’ iaitu sukar untuk mencapai kemenangan berdasarkan keputusan pilihan raya umum lalu.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, Pas sentiasa realistik untuk bertanding di 130 kerusi Parlimen pada pilihan raya kelak berdasarkan kepada kekuatan mereka yang mempunyai 195 kawasan di seluruh negara.

“Kita bertanding di atas dahan yang kukuh. Kita ada 195 kawasan, cawangan serta jentera yang kuat. Kami hanya bertanding 130 kerusi dan itu sasaran yang realistik dan berpijak di bumi yang nyata.

“Kalah menang itu soal lain, yang penting kita bertanding dahulu,” katanya. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.