Elak Badi Wanita Keguguran

PELAKON popular Siti Elizad ingin mengehadkan watak wanita mengalami keguguran kerana menganggap ia badi kepada dirinya masih belum dikurniakan cahaya mata selepas tiga tahun berkahwin dengan suami, Shamsul Baharin Rahman, 46.

Elizad, 34, berkata dia mulai terfikir perkara itu selepas dihujani komen peminat di laman Instagram miliknya yang mencadangkan dia berhenti melakonkan watak sebegitu.

“Sejak berlakon dalam drama Syurga Yang Kedua iaitu watak Sabrina yang mengalami keguguran beberapa kali, saya banyak terima mesej dan komen menyarankan agar saya kurangkan dan berhenti melakonkan watak sedemikian.

“Kebanyakan komen mengatakan ia antara sebab saya susah nak ‘lekat’ dalam soal anak. Saya pun terfikir juga perkara ini malah tertanya-tanya adakah ia badi untuk diri sendiri.

“Namun, saya tidak mahu terlalu ambil serius. Sebaliknya percaya, soal anak adalah ketentuan Allah. Mungkin belum rezeki saya dan suami untuk menimang cahaya mata. Sudah pasti Allah ada perancangan terbaik untuk setiap hamba-Nya,” katanya kepada Harian Metro.

Elizad yang juga juara program Gempak Superstar 2016 berkata, dia dan suami tidak pernah putus berdoa untuk dikurniakan anak.

Malah, Elizad menyifatkan suaminya adalah individu yang sentiasa menyokong dan memberikan kata-kata semangat untuk dirinya

“Dia selalu cakap, ada rezeki adalah. Kalau tidak ada sekali pun, dia tetap menyokong saya.

“Cuma, dalam perkara ini saya tidak mahu mementingkan diri sendiri. Sekiranya ditakdirkan saya tidak boleh melahirkan zuriat untuk suami, saya reda. Malah saya sedia terima ketentuan jika suami berhajat untuk kahwin lagi satu.

“Ketika itu, saya tidak boleh menghalang. Namun, saya dengar rela hati berundur. Sejujurnya, saya tidak sanggup bermadu. Dalam masa sama, saya boleh berdikari kerana masih mempunyai kerjaya,” katanya.

Elizad dan suami berkahwin pada 11 Januari 2015.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.