Eina Kekok Kembali Beraksi

KUALA LUMPUR: Pelakon, Datin Eina Azman, mengaku kekok kembali beraksi di depan kamera selepas agak lama berehat bagi menguruskan keluarga.

Namun, Eina atau nama penuh Ainur Syakina Azman, 23, menyifatkan dirinya bertuah mendapat sokongan penuh daripada produksi drama baharu lakonannya.

Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, dirinya julung kali berpeluang berlakon bawah arahan Rusdi Ramli.

“Sudah lama rasanya saya tidak berlakon. Jadi, tentunya agak kekok juga apabila berada di lokasi pada hari pertama penggambaran. Alhamdulillah, abang Rusdi dan pihak produksi banyak membantu saya untuk lebih berasa selesa di hadapan kamera.

“Dalam drama 10 episod berjudul Doa Ku Mohon yang bakal ditayangkan Ramadan nanti menerusi saluran TV3, saya memegang watak ibu muda bernama Kasma.

“Pihak produksi menampilkan kelainan menerusi drama itu apabila mengangkat tema berbeza bagi setiap episod, namun tetap berkisar mengenai saya dan anak,” katanya kepada BH Online.

Eina turut memuji pendekatan Rusdi sebagai pengarah yang memberi kebebasan kepada pelakonnya untuk berkarya, malah tempoh penggambaran juga memakan masa selama 15 hari saja.

Kali terakhir Eina berlakon sebelum ini ialah pada 2016 bersama produksi Pesona Pictures.

Pelakon itu mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Abdullah, 38, pada 31 Ogos 2014 dan mereka dikurniakan sepasang kembar, Arianna Aubrey dan Karl Kareef.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.