Waris MH370 Kecewa Dan Keliru

Putrajaya – Keluarga penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 kecewa dengan tindakan Jabatan Penerbangan awam (DCA) mengadakan sidang media, bagi memaklumkan perkembangan terkini berhubung kehilangan pesawat itu, tanpa memberitahu mereka.

 

Lim Wee Hoon, 41, berkata MAS sentiasa berhubung dengan mereka sebelum ini dan berjanji akan memaklumkan keluarga mangsa terlebih dahulu, sekiranya terdapat sebarang perkembangan.

 

“Saya tidak dimaklumkan langsung akan ada sidang media untuk mengumumkan perkembangan terkini.

 

“Pasukan MAS hanya menghubungi saya pada jam 2.40 petang tadi dan meminta saya buka televisyen, kerana akan ada pengumuman.

 

“Jangan ingat kami sentiasa berada di depan televisyen,” katanya yang kehilangan abang iparnya, Chan Kwan Pei dalam insiden itu.

 

Lim berkata, pihak bertanggungjawab perlu menjaga perasaan keluarga mangsa, bukannya membiarkan waris berada dalam keadaan keliru.

 

“Saya dengar khabar sidang media ini untuk mengumumkan secara rasmi pesawat tersebut hilang.

 

“Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) sebelum ini mengumumkan penerbangan pesawat tersebut berakhir di Lautan Hindi.

 

“Apa beza berakhir dan hilang? Ini sangat mengelirukan,” katanya kepada pemberita.

 

Sementara itu, seorang warga China, Kelly yang hadir dalam sesi sidang media itu kecewa, kerana tidak dimaklumkan mengenai perkembangan terkini kehilangan MH370.

 

Katanya, meskipun niat kerajaan Malaysia baik, untuk memudahkan ahli keluarga membuat tuntutan, namun dia masih ingin tahu di mana pesawat itu.

 

“Saya masih hendak tahu di mana pesawat itu. Jangan cakap hilang begitu sahaja tanpa bukti.

 

“Saya mahu kerajaan Malaysia keluarkan kenyataan data satelit dalam bahasa Cina, supaya ahli keluarga di China boleh analisis,” katanya.

 

Kelly sudah berada di Malaysia beberapa minggu lalu untuk menyelesaikan beberapa isu.

 

Menurutnya, dia juga mahu berjumpa dengan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, tetapi masih belum berkesempatan sehingga kini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.