Tegas Atas Keceluparan Media Sosial

Oleh: Abdul Razak Idris

 

BANYAK pihak yang tertanya-tanya tentang peranan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dalam menangani sikap pengguna media sosial seperti Facebook, Twitter, Whatapps dan Weblog yang kadang­kala terlampau ‘celupar’ dalam menyampaikan maklumat.

 

Wartawan segera yang menghantar gambar mahupun mesej bergerak kadang-kadang tidak pernah memikirkan perasaan orang yang dirakam dan keluarga mereka yang terlibat.

 

Ini bukan isu penyanyi popular 1990-an yang nyanyiannya dirakamkan dalam keadaan bergari mahupun mangsa kemalangan yang hilang nyawa terbakar hidup-hidup, tetapi ia adalah isu membabitkan sensitiviti budaya masyarakat Malaysia yang tinggi nilai tata-susilanya.

 

Mungkin ada pihak yang masih mahu mengagungkan kebebasan bersuara dalam membela kelompok manusia yang melihat penderitaan orang lain adalah keriangan bagi mereka.

 

Sebelum kisah vokalis kumpulan Slam, Zamani Ibrahim menjadi viral, kita imbas kembali kepada kisah banjir yang ‘menyayat hati’ yang ditokok tambah hingga menampakkan begitu besar dosa pihak berkuasa kerana lambat menyelamatkan rakyat hingga ada yang kebuluran.

 

Jika ada kekurangan dalam segala tindak-tanduk operasi menyelamat mangsa banjir ia adalah perkara biasa kerana secanggih mana gajet manusia kuasa alam lebih hebat.

 

Kisah di Kelantan tersebut kini sedang disiasat oleh pihak berkuasa, namun soalnya sampai bila pengguna media sosial betah menghantar ‘posting’ beracun yang setengah masak sumber dan wibawa fakta yang dititip dengan hujung jari.

 

Dalam keadaan dunia sedang dilanda nuklear maklumat SKMM perlu lebih gagah meredah ranjau `zaman kerana pulut santan binasa, kerana posting badan binasa’.

 

Ketegasan tindakan penguatkuasaan harus ada dalam setiap gerak kerja SKMM, yang mana kakitangan pemantau perlu diperkasakan dan ditambah mengikut keperluan ledakan maklumat semasa.
Boleh dikatakan hari ini, rakyat bergantung harap bukan sahaja kepada maklumat di media perdana, malahan kepada media sosial yang dijana oleh kumpulan WhatsApp yang amat popular di negara ini.

 

Lebih dikesalkan kadang-kala media perdana pun turut memetik sumber berita dari media sosial yang diibaratkan sebagai sumber berita paling pantas abad ini.

 

Dalam sudut ini, kita sepatutnya tidak boleh begitu mudah menyalahkan pengguna media sosial yang menghantar posting yang dianggap rasmi (classified) seper­ti soalan peperiksaan mahupun maklumat kes polis kerana aplikasi WhatsApp, bukan saluran media yang haram tetapi sah di sisi undang-undang.

 

Sepatutnya yang perlu dipersalahkan adalah moral penghantar yang mahu berkongsi sesuatu yang dianggap mendatangkan aib kepada seseorang insan. Adakah kita mahu menafikan kenyataan bahawa media sosial adalah wadah berkongsi bahan mahupun idea, cuma persepsi orang yang menerima bahan tersebut adalah berbeza antara satu sama lain.

 

Sewajarnya SKMM menjadi hakim dalam situasi ini dan untuk tujuan tersebut suruhanjaya itu perlulah bertindak pro-aktif menyiasat dakwaan rakyat yang terkesan dari informasi yang masuk ke dalam telefon pintar mereka.

 

Menelusuri sejarah dunia maya dan media sosial di negara ini, jika dibaca keseluruhannya, begitu banyak fitnah daripada realiti yang terpapar sama ada di laman sosial mahupun weblog.

 

Saman-menyaman akibat informasi dunia maya yang dianggap fitnah, ada kala membuatkan kita sebagai pengguna keliru seolah-olah dengan menyaman segala hakikat dapat diketepikan begitu sahaja.

 

Di dalam keadaan ini SKMM sewajarnya berperanan untuk menyiasat weblog yang bercambah bak cendawan selepas hujan yang sering memaparkan berita yang lebih sensasi dari mempunyai erti.

 

Harus diingat, dunia tanpa sempadan pada masa ini mampu membawa bencana dari negara luar tanpa ada sekatan langsung melalui paparan skrin telefon.

 

Apa yang kita takuti bukan setakat imej mangsa culik disembelih, apa yang paling perlu diperhatikan adalah penyebaran fahaman militan, penyelewengan ajaran Islam melalui kata-kata hikmah dan lain-lain jenis paparan lagi.

 

Besar sebenarnya beban SKMM dalam menangani kebebasan media di dalam negara ini. Justeru SKMM perlu berani bertindak dan tidak sekadar melahirkan alasan demi alasan hingga rakyat jadi bosan.

 

Jika sah ada kesalahan tindakan perundangan perlu senada seirama, jangan biarkan cacing naik ke mata.

 

Kita sebagai pengguna juga perlu ‘ketuk skrin tanya google’ adakah wajar kita menghantar apa saja bahan kepada orang lain sedangkan ia berunsur fitnah dan merosakkan imej baik seseorang.

 

Fikir dulu sebelum posting sama ada ke media WhatsApp, Telegram, Facebook dan Twitter. Hari ini gambar si polan mungkin esok gambar kita lebih aib lagi. Empatilah..!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.