Sidang Media DCA Mengenai MH370 Dijadual Berlangsung Petang Ini

Kuala Lumpur – Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dijadual mengadakan sidang media mengenai perkembangan terkini kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, petang ini.

 

Sidang media pada jam 3.30 petang itu diadakan di ibu pejabat DCA di Presint 4, Putrajaya.

 

Ia akan turut disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) serta TV3.

 

Ada ura-ura mengatakan kemungkinan status MH370 akan diisytiharkan sebagai hilang secara rasmi pada sidang media DCA hari ini, namun kesahihannya tidak dapat dipastikan.

 

Ini kerana ada berita yang menyatakan status berkenaan hanya akan diumumkan oleh menteri bertanggungjawab pada bulan Mac nanti, iaitu menjelang genap setahun pesawat berkenaan hilang.

 

“Jabatan Penerbangan Awam Malaysia dijadual memberikan perkembangan mengenai insiden MH370,” tulis e-mel berkenaan.

 

E-mel itu juga memaklumkan satu taklimat teknikal berhubung misi mencari pesawat yang hilang itu akan diadakan pada petang Jumaat.

 

Pesawat jenis Boeing 777-200ER itu hilang 40 minit setelah berlepas dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing pada 8 Mac tahun lalu. Ia membawa 239 penumpang dan anak kapal, termasuk 50 orang rakyat Malaysia.

 

Kali terakhir pesawat berkenaan menghubungi Pusat Kawalan Trafik Udara (ATC) di Kuala Lumpur ialah kira-kira jam 1.19 minit pagi, kurang daripada satu jam selepas berlepas, sebelum hilang dari radar awam DCA dua minit kemudian pada jam 1.21.

 

Misi pencarian besar-besaran membabitkan beberapa negara telah dijalankan sejak daripada itu dengan diketuai oleh Australia, dan fokus pencarian kini adalah di dasar bahagian selatan Lautan Hindi.

 

Ketika ini operasi memberi tumpuan kepada carian di bawah air di kawasan keutamaan seluas 60,000 kilometer persegi dengan diselaraskan oleh Pusat Penyelarasan Agensi Bersama Agensi (JACC) Australia.

Dalam pada itu, ahli keluarga dan waris mereka yang menaiki pesawat berkenaan meminta pihak berkuasa Malaysia untuk tidak mengisytiharkan pesawat itu sebagai hilang, tanpa sebarang bukti.

 

“Kami telah nyatakan sebelum ini dan kami ulangi lagi bahawa kami sedia menerima sebarang kemungkinan termasuk hakikat mereka yang tersayang tidak akan pulang. Bagaimanapun, semua ahli keluarga sepakat tidak mahu mengisytiharkan mereka meninggal dunia tanpa sebarang bukti,” kata mereka yang menamakan diri sebagai Voice 370 dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.

 

Ahli keluarga dan waris itu berharap pihak berkuasa yang terlibat akan meneruskan usaha mencari pesawat itu sampai jumpa.

 

Voice 370 juga memberitahu telah dimaklumkan oleh pihak berkuasa Australia mengenai perkembangan usaha mencari pesawat berkenaan yang mengikut perancangan dan sudah meliputi satu pertiga daripada kawasan carian.

 

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi pada Rabu dipetik mengumumkan Kementerian Pengangkutan akan mengeluarkan laporan interim hasil siasatan kehilangan pesawat itu pada 7 Mac ini, genap setahun kehilangannya.

 

Beliau kemudian melalui satu siaran media membayangkan tarikh berkenaan belum muktamad dan laporan itu “dijangka akan dikeluarkan sekitar ulang tahun pertama kejadian MH370”.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.