Saya Tidak Diberi Peluang Oleh 
Kerajaan DAP Pulau Pinang – Iszuree

Bekas Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Iszuree Ibrahim sekali lagi menegaskan beliau tidak bersalah serta tidak diberi peluang untuk menjelaskan kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng berhubung dakwaan mengkritik dasar pembangunan Kerajaan DAP Pulau Pinang.

 

Iszuree berkata, keputusan memecatnya dibuat secara tergesa-gesa walaupun sebelum itu Setiausaha Politik Guan Eng, Wong Hon Wai telah menghubunginya meminta penjelasan.

 

Sehubungan itu, menurutnya, beliau perlu mengambil tindakan mencabar pemecatannya di mahkamah kerana mahu mencari keadilan.

 

“Apabila menyemak keputusan mereka itu dengan peguam, saya dimaklumkan ada kes kerana dibuat tidak mengikut prinsip keadilan,” katanya.

 

Iszuree berkata demikian kepada pemberita di luar Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas hadir mendengar pengurusan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang memecatnya daripada semua jawatankuasa tetap MPPP dan membekukan peruntukannya.

 

Permohonan semakan tersebut difailkan oleh beliau yang diwakili peguam Mohd. Haris Abdullah pada 14 November tahun lalu.

 

Penolong Kanan Pendaftar, Nor Azah Idris menetapkan 9 Februari ini untuk pengurusan kes berkenaan.

 

Iszuree yang juga Bendahari Pas Pulau Pinang sebelum ini memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai responden pertama, MPPP responden kedua dan kerajaan negeri responden ketiga.

 

Permohonan itu difailkan untuk membatalkan surat responden kedua bertarikh 26 September tahun lalu dan keputusan responden pertama yang dibuat pada 25 September lalu yang memutuskan Iszuree dibuang daripada semua jawatankuasa tetap MPPP dan pembekuan semua peruntukannya. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.