Rampas pasport Anwar, desak NGO Tibai

Kuala Lumpur – Pihak berkuasa digesa merampas pasport antarabangsa milik Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Mursyidul Am Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (Tibai), Muhammad Zahid Md. Arip berkata, desakan itu dibuat, agar Anwar diletakkan di bawah tahanan atau pemerhatian, termasuk kawalan polis, sementara menunggu keputusan kes Liwat II, pada 10 Februari ini.

 

Menurutnya, satu laporan polis telah dibuat, susulan pengajaran daripada bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Koperal Sirul Azhar Umar yang didapati bersalah dalam kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

 

“Dia memiliki pasport, dia boleh terus terbang ke Australia, di sana tanpa perlu merayu perlindungan politik, dia tidak dikembalikan, kerana kerajaan Australia sebuah kerajaan yang anti hukuman mati.

 

“Kita bimbang Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan segala ‘kecerdikan’ yang dia dan pasport yang dia ada, dia boleh terbang ke mana-mana negara, termasuk Amsterdam,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, hari ini.

 

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung kes Liwat II terhadap Ketua Pembangkang itu yang akan diumumkan 10 Februari ini.

 

Anwar, 67, sebelum ini dijatuhkan hukuman lima tahun penjara, tetapi pasukan pendakwaan merayu hukuman lebih berat dikenakan.

 

Anwar dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di Kondominium Desa Damansara, antara jam 3.15 hingga 4.30 petang 26 Jun 2008.

 

Sementara itu, Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Zulkifli Noordin mendakwa, tindakan menyekat Anwar itu wajar dilakukan segera, memandangkan Ketua Pembangkang itu pernah melarikan diri pada 2008, dalam kes sama.

 

“Dia pernah melarikan diri pada 28 Jun 2008, apabila Saiful Bukhari buat laporan polis dan dia lari ke Kedutaan Turki dan dia minta perlindungan negara itu.

 

“Kalau dia melarikan diri ke luar negara atau ke Kedutaan Belanda di sini pun, kita sudah tidak boleh buat apa-apa, kerana negara mereka tidak menjadikan liwat ini sebagai satu kesalahan jenayah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.