PKR: Nasib Anwar, Bebas Atau Penjara Tidak Penting

PETALING JAYA – Persoalan sama ada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim disabitkan bersalah atau dibebaskan dalam penghukuman kes Liwat II pada 10 Februari ini bukan menjadi keutamaan kepada parti itu.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Datuk Johari Abdul bagaimanapun berkata, nasib ‘bosnya’ itu tidak boleh membantutkan gerakan reformasi sebagaimana yang berlaku dalam Barisan Alternatif (BA) pada 1999.

 

“Masuk penjara atau bebas itu tidak penting, cuma reformasi (pembaharuan) itu mesti berlaku, kita tidak mahu jika Anwar ke dalam (penjara) reformasi akan terencat.

 

“Andai kata keputusan sebaliknya, rakyat kena bangkit dan jangan bermuram durja, bangun lakukan pembaharuan, kita tidak boleh serahkan negara ini kepada BN, masa depan negara ditentukan kita, bukan kumpulan tertentu sahaja,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

 

Beliau berkata demikian mengulas pengumuman Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan kes Liwat II terhadap Ketua Umum Pembangkang itu akan diumumkan pada 10 Februari ini.

 

Anwar, 67, sebelum ini dijatuhkan hukuman lima tahun penjara tetapi pasukan pendakwaan merayu hukuman lebih berat dikenakan.

 

Anwar dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan di Kondominium Desa Damansara antara 3.15 hingga 4.30 petang pada 26 Jun 2008. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.