Pizza Hut Rancang Tambah 10 Restoran

Petaling Jaya: Pizza Hut Malaysia, memperuntukkan modal RM50 juta tahun ini bagi rancangan menambah rangkaian restorannya di seluruh negara terutama di lokasi yang berpotensi besar.

 

Pengurus Besar Kanannya, Low Kang Moon berkata, pihaknya menyasarkan untuk membuka lebih 10 restoran Pizza Hut bagi tahun ini sekali gus memberi peluang masyarakat setempat menikmati menu terbaru di Pizza Hut.

 

Beliau berkata, tahun lalu syarikat itu membuka sebanyak 20 rangkaian baru di lokasi terpilih seluruh Malaysia dan menjadikan jumlah keseluruhan restoran Pizza Hut dan Pizza Hut Delivery sebanyak 350 unit.

 

“Selalunya perbelanjaan untuk membuka satu restoran dianggarkan antara RM500,000 hingga RM1 juta bergantung pada saiz dan lokasi. Kami masih mencari lokasi strategik terutama di kawasan taman perumahan yang baru dibuka,” katanya kepada media di majlis pelancaran menu baru, Pizza Pastry Crown, semalam.

 

Menurutnya, Pizza Pastry Crown itu adalah yang pertama seumpamanya dilancarkan di Malaysia yang menggabungkan elemen berbeza bagi setiap rasanya.

 

Low berkata, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi pengiklanan dan promosi Pizza Pastry Crown di semua saluran media massa.

 

Beliau berkata, pelanggan juga tidak perlu risau dengan harga yang ditawarkan kerana Pizza Hut masih mengekalkan harga yang sama dan tiada sebarang kenaikan walaupun selepas pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada 1 April ini.

 

Pizza Pastry Crown didatangkan dengan kombinasi lapisan inti manis dan lazat beserta kerak keju tiga rasa yang dilapisi pastri mentega garing keemasan. Menu baru Pizza Hut ini boleh didapati di semua rangkaian restoran terdekat bermula 28 Januari hingga 31 Mac 2015. – Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.