Pelan Pembangunan Pendidikan Pengajian Tinggi Jadi Teras Transformasi Pendidikan Negara

Kuala Lumpur – Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi) 2015-2025 yang akan diumumkan Mac ini, akan menjadi teras ke arah mentransformasi dan meningkatkan mutu pengajian tinggi negara.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata pelan pembangunan tersebut dibentangkan dalam mesyuarat mingguan Kabinet hari ini.

 

“Insya Allah, saya yakin ia (Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi)) akan memacu peningkatan prestasi pengajian tinggi negara,” kata perdana menteri dalam catatan terbarunya di laman Facebook dan Twitternya, malam ini.

 

Ahad lepas, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Asma Ismail berkata pelan tersebut dijangka diumumkan Mac ini dan antara lain bertujuan mentransformasi dan meningkatkan standard pendidikan tinggi negara.

 

“Pelan ini akan menentukan bentuk graduan yang kita mahu lahirkan, selain menggilap bakat pelajar dan juga pensyarah,” kata Dr Asma.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.