PAS, DAP Memang Tidak Sebulu – Muhyiddin

Kuala Lumpur – PAS dan DAP sejak dari dulu lagi memang tidak mempunyai pandangan yang sama sehingga menyebabkan berlakunya banyak ketidaksefahaman dalam Pakatan Rakyat (PR), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

Timbalan Presiden UMNO berkata, PAS dan DAP sudah lama tidak sehaluan dan pendapat kedua-dua parti itu banyak bercanggah, bukan sahaja melibatkan isu Hudud dan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) tetapi isu-isu lain.

 

“Mereka ini kalau nak ikut pepatah Melayu ‘ tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain’,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Menara Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu di Kuala Lumpur.

 

Katanya, berlakunya pelbagai masalah dalam PR menyebabkan perjuangan mereka tidak boleh dipercayai malah rakyat perlu menjadikannya sebagai pengajaran pada masa akan datang dengan menolak kepimpinan mereka.

 

“Setiap isu yang dibangkitkan PR menjadikan rakyat muak dan mereka hanya pandai bersengketa yang pada akhirnya akan terburai juga kelemahan mereka. Akibatnya rakyat tahu siapa sebenarnya pemimpin PR,” ujarnya.

 

Krisis terbaru yang melanda PR apabila ,Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali semalam menyelar kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng kerana menuduh beliau tidak jujur.

 

“Saya ajak bersemuka kerana ini sahaja penyelesaian buat masa ini bagi meredakan keadaan. Biar saya dan Guan Eng mengatakan mengikut versi masing-masing. Biar rakyat tentukan siapa bercakap bohong dan siapa bercakap benar,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.