Najib Pikat Hati Pelabur Menerusi Dua Misi Mempromosi Malaysia, Asean Pada WEF

Analisis Berita Oleh Nor Baizura Basri

 

Kuala Lumpur – Meskipun terpaksa memendekkan lawatannya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berjaya melaksanakan dua misi mempromosi Malaysia dan Asean sebagai destinasi pelaburan pilihan.

 

Dan pelabur antarabangsa yang yakin terhadap jaminan yang diketengahkan Najib mengenai daya saing Malaysia berdasarkan meritnya yang tersendiri selain kedudukannya dalam Asia Tenggara (SEA), menyuarakan komitmen jangka panjang masing-masing ke atas Malaysia dan Asean.

 

Walaupun suhu di bawah takat beku, Najib berjaya mengambil dan memenangi hati para pelabur yang mengesahkan komitmen masing-masing untuk beroperasi dan meluaskan aktiviti di Malaysia, termasuk Royal Vopak, Novartis dan Lafarge.

 

Najib yang juga Menteri Kewangan, turut mengisi masa dengan mengadakan pertemuan peribadi dengan pemimpin korporat enam syarikat – BAE, Lloyds, Royal Dutch Shell, General Electric, Nestle dan Standard Chartered Group, yang mahu menambah pelaburan masing-masing di Malaysia dan Asean.

 

Pada makan tengah hari perniagaan yang dihoskan Malaysia, Najib mengambil masa untuk menjelaskan kepada masyarakat antarabangsa mengenai kedudukan ekonomi semasa Malaysia dan langkah proaktif yang diambil bagi menampung impak cabaran semasa.

 

Kehadiran Najib di Davos dianggap tepat kerana memberikan beliau peluang untuk meyakinkan pelabur bahawa kerajaan berusaha keras untuk memastikan ekonomi negara mencatat trajektori pertumbuhan, usaha yang penting berikutan pelabur terikat atas pertumbuhan ekonomi jangka panjang Malaysia.

 

Penjelasan langsung mengenai kedudukan ekonomi Malaysia itu sangat penting walaupun ekonomi negara terjejas akibat kejatuhan harga minyak mentah dan ringgit yang lemah.

 

Lebih penting lagi, beliau menyatakan Malaysia tidak menghadapi krisis, namun ada cabaran untuk ditangani menerusi langkah proaktif dan langkah berhemat bagi mengekang perbelanjaan tanpa menjejaskan perbelanjaan pembangunan.

 

Ini (perbelanjaan pembangunan) penting kepada pertumbuhan dan peluasan ekonomi.

 

“Sudah pasti kami bimbang terhadap cabaran yang dihadapi, namun kami yakin berdasarkan asas ekonomi yang kukuh. Pasaran akan membuat pembetulan, kami akan menangani cabaran getir ini dan kami akan kembali pada kedudukan yang baik,” katanya.

 

Najib turut bercakap mengenai kisah kejayaan ekonomi negara selain kejayaan syarikat korporat Malaysia di peringkat antarabangsa.

 

Selaku pengerusi Asean, Perdana Menteri turut bercakap mengenai peluang besar untuk komuniti antarabangsa hasil daripada potensi yang wujud dalam ekonomi perkumpulan serantau itu yang mempunyai asas pengguna seramai 620 juta, terutama dalam ekonomi SEA yang belum diteroka, dengan Malaysia berperanan sebagai gerbang terbaik.

 

Sokongan memberangsangkan juga diterima daripada pemimpin industri tempatan dengan 39 daripada turut serta berhimpun di Davos termasuk Pengarah Urusan Khazanah Nasional Tan Sri Azman Mokhtar, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, Pengerusi CIMB Group Holdings Bhd Datuk Seri Nazir Razak, Presiden dan CEO Axiata Datuk Seri Jamaludin Ibrahim.

 

Mengenai isu dua hala, Najib bertemu rakan sejawatannya dari Belanda, Mark Rutte dengan perbincangan bertumpu kepada maklumat terkini siasatan tragedi MH17.

 

Beliau juga bertemu Perdana Menteri Turki Ahmet Davutoglu dan Ketua Menteri Andhra Pradesh, India, Chandrababu Naidu, yang antara lain membincangkan usaha untuk meningkatkan hubungan dua hala dalam semua aspek termasuk sektor teknologi, ekonomi, perdagangan dan ketenteraan.

 

Tugas Najib kemudiannya diteruskan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, yang membuat rundingan susulan bersama pelabur bagi memberikan mesej kelas mengenai agenda Asean.

 

Mustapa bertemu 11 pemimpin utama syarikat termasuk Cargill Incorporated, Boston Consulting Group dan syarikat lain dalam industri penjagaan kesihatan, mesin, logistik dan industri makanan.

 

Beliau juga menjadi hos Malam Malaysia di Pavilion Malaysia, yang menyaksikan sambutan memberangsangkan daripada 1,500 tetamu, separuh daripadanya peserta WEF tahun ini.

 

Namun, ketiadaan Perdana Menteri ternyata dirasai.

 

Malam Malaysia yang berlangsung tiga jam itu memberi peluang kepada tetamu untuk menikmati sendiri masakan Malaysia seperti nasi lemak, sate, nasi briyani, sambal udang, selain teh tarik yang terkenal.

 

Komitmen Kerajaan Malaysia diperkukuh berikutan kehadiran personaliti ternama termasuk pereka fesyen terkemuka dunia dari Kelantan, Datuk Zang Toi dan pemenang Master Chef United Kingdom 2014, Ping Coombes, pengasas MERCY Malaysia Tan Sri Dr Jemilah Mahmood, selain persembahan rakaman video pemain skuasy nombor satu dunia Datuk Nicol David.

 

Ia merupakan sebahagian daripada sokongan kepada usaha oleh kerajaan.

 

“Kami melihat minat dan keyakinan kukuh terhadap Malaysia daripada komuniti perniagaan antarabangsa di sini, khususnya sebagai asas untuk mengembangkan perniagaan mereka ke Asean,” kata Mustapa, yang berjaya mengejutkan tetamu dengan ucapan bersahajanya pada malam itu.

 

Bagi Abdul Wahid, penyertaan Malaysia pada WEF sangat bermakna daripada aspek pelaburan.

 

Beliau turut mencadangkan supaya Malaysia lebih banyak bersuara dalam WEF pada masa akan datang dan terlibat dalam sebanyak sesi dan perbincangan yang boleh.

 

“Secara keseluruhannya WEF kali ini sangat produktif, berjaya dan bermakna,” katanya.

 

Forum dunia itu kali ini melibatkan 280 sesi, dengan tumpuan kepada usaha menangani cabaran dunia, melihat pemimpin mencorakkan semula dunia dan kaedah mengemudi perubahan itu.

 

Bagi Malaysia, negara ini sudah berbuat yang terbaik dalam pembentangan kesnya pada WEF. Akhirnya, kedudukan Malaysia tidaklah segala-galanya suram atau gagal. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.