Malaysia Perlu Berperanan Halang Konflik Di Timur Tengah

Malaysia, yang mengamalkan dasar kesederhanaan yang baik, boleh memainkan peranan utama dalam menyekat konflik di kalangan negara-negara Timur Tengah.

 

Pengerusi Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Bosnia Herzegovina Amer Bukvic (gambar, kiri) berkata amalan kesederhanaan di negara pelbagai kaum ini menjadi contoh baik untuk negara lain mengekalkan suasana harmoni dan aman di tempat masing-masing.

 

“Kesederhanaan Malaysia sebenarnya merupakan model untuk negara-negara lain, memandangkan terlalu banyak konflik, pertempuran dan pembunuhan di negara-negara Islam seperti di Syria, dan negara lain di rantau Timur Tengah,” kata beliau pada forum antarabangsa mengenai Trend Politik dan Ekonomi di Eropah Tenggara, di Kuala Lumpur, hari ini.

 

Forum itu anjuran DMDI, Universiti Teknologi Malaysia, Majlis Belia Malaysia dan beberapa pertubuhan belia, dilancarkan oleh Presiden DMDI Tan Sri Mohd Ali Rustam.

 

Ia merupakan medium untuk berkongsi maklumat, cabaran dan peluang dalam masyarakat politik dan ekonomi terutama antara Malaysia dan Bosnia Herzegovina.

 

Sementara itu, Ali pada sidang akhbar kemudiannya berkata konflik dan keganasan bukanlah cara terbaik bagi menangani krisis di negara-negara berkenaan.

 

Sebaliknya, mereka perlu duduk semeja bagi menangani masalah, kata beliau.

 

“Kita sebagai sekretariat DMDI juga akan cuba memainkan peranan untuk mengurangkan konflik dalam kalangan penduduk negara Islam,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.