Malaysia Isytihar Semua Penumpang Dan Anak Kapal Terkorban

Putrajaya – Malaysia hari ini secara rasmi mengumumkan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 sebagai satu kemalangan.

 

Perkara itu diumumkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman menerusi pengumuman khas mengenai kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di RTM1, sebentar tadi.

 

“Kami secara rasmi mengisytiharkan pesawat MH370 sebagai satu kemalangan berdasarkan Standard of Annexes 12 dan 13 Chicago Convention,” katanya.

 

Dengan pengisytiharan itu, kerajaan memahami ia suatu yang sukar kepada semua waris 239 penumpang dan anak kapal.

 

“Tanpa mengguris perasaan setiap ahli keluarga mangsa yang terkorban, pengumuman ini diharapkan mampu memberi bantuan yang mereka perlukan, termasuk proses pampasan.

 

“Kami juga memahami bahawa MAS bersedia untuk meneruskan dengan kadar segera proses pampasan, dengan kesediaan waris untuk mengambil tindakan,” katanya.

 

Azharuddin berkata, bagi membolehkan setiap waris mendapat maklumat yang disahkan, laman web khas MH370. www.mh370.gov.my ditubuhkan, khusus untuk waris penumpang.

 

Kehilangan pesawat tersebut pada awal pagi 8 Mac 2014 sehingga ke hari ini, masih kekal misteri.

 

Penerbangan ke Beijing, China, dengan 239 penumpang itu terputus hubungan dengan Menara Kawalan Trafik Udara hampir sejam selepas ia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam.

 

Berikut adalah maklumat mengenai penerbangan malang itu:

 

* MH370 menggunakan Boeing 777-200ER yang dikuasakan oleh dua enjin Rolls Royce Trent 892.

 

* Diserahkan kepada MAS pada Mei 2002 dan sejak itu, ia merekodkan 53,465.21 jam dengan 7,525 kitar.

 

* Penyelenggaraan dilakukan pada 23 Feb 2014 dan penyelenggaraan berjadual berikutnya dijadualkan pada 19 Jun 2014.

 

* Ia dipandu oleh Kapten Zaharie Ahmad Shah dan pegawai pertama Fariq Abdul Hamid.

 

* Berlepas dari KLIA pada 12.41 tengah malam dan dijadual tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

 

* Terputus hubungan dengan Menara Kawalan Trafik Udara pada 1.30 pagi.

 

* Pada 24 Mac 2014, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa laluan penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.

 

Penumpang: 239

* Anak kapal: 12 (semua rakyat Malaysia)
* Penumpang: 227 (termasuk dua bayi) terdiri daripada 13 kewarganegaraan:

 

** Malaysia – 38
** China – 152
** Indonesia – 7
** Australia – 7
** Perancis – 4
** Amerika Syarikat – 3
** New Zealand – 2
** Ukraine – 2
** Kanada – 2
** Rusia – 1
** Taiwan – 1
** Belanda – 1
** India – 5
** Iran – 2

 

Mencari dan Menyelamat

 

* Sekurang-kurangnya 26 negara terlibat dalam operasi SAR, dan banyak syarikat seperti Petronas, Boustead dan Deftech menyediakan bantuan teknologi dalam carian itu.

 

* Kawasan carian awal termasuk di Laut China Selatan, Selat Melaka. Carian kemudian diperluaskan kepada dua koridor yang seluas 7.68 juta kilometer persegi.

 

Koridor utara meliputi kawasan utara Thailand ke sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan manakala koridor selatan merangkumi Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

 

* Lima hari kemudian, fokus carian dipindahkan ke Lautan Hindi selepas data satelit menunjukkan penerbangan itu berakhir di kawasan itu.

 

* Pada 28 Jan 2015, carian dilakukan di kawasan sejumlah 18,000 kilometer persegi di dasar laut Lautan Hindi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.