Linda Upah 2 Pengasuh Untuk Bawa Anak Ke Lokasi Penggambaran

Petaling Jaya – Pelakon Linda Hashim memberitahu mengupah dua orang pembantu bagi menjaga anaknya, Jelita Clarissa yang kini berusia sembilan bulan di lokasi penggambaran.

Linda atau nama sebenarnya Norhazlinda Hashim, 31, berkata, dia terpaksa berbuat demikian kerana Jelita masih menyusu badan tambahan pula anaknya itu semakin aktif.

“Saya perlu membawa dia ke mana sahaja saya pergi kerana dia tidak mahu menyusu menggunakan botol dan dia kini sangat aktif sehingga memaksa saya mengupah dua pembantu untuk menjaganya ketika di lokasi penggambaran.

“Dengan kehadiran dua pembantu sekurang-kurangnya mereka dapat bergilir-gilir menjaga dia dan tidaklah mereka terlalu penat,” katanya kepada mStar Online.

Linda berkahwin dengan aktor Beego atau nama sebenarnya Mohd Aszerul Nizam Abdullah, 35, pada 8 Jun 2013.

 

Dalam pada itu, Linda berkata, dia berasa lega kerana pihak produksi memberi kelonggaran kepadanya untuk membawa anak ke lokasi penggambaran selain memberi ruang kepadanya untuk menyusukan Jelita.

Kata Linda, dia beruntung biarpun anaknya itu lasak tetapi bayinya jarang meragam sehingga menggangu penggambaran yang sedang berlangsung.

“Saya mula-mula risau jugak tetapi Alhamdulillah produksi memahami situasi saya yang terpaksa membawa anak bersama kerana masih menyusu badan.

“Setakat ini tiada sebarang masalah dan Jelita pun jarang meragam seperti memahami ibunya perlu bekerja,” katanya.

Sementara itu, Linda berkata, biarpun sudah kembali aktif berlakon namun dia terpaksa memilih tawaran diberikan kerana perlu mengutamakan anaknya.

“Sekurang-kurannya biarlah dia besar sedikit dahulu baharulah saya terima projek drama bersiri dan buat masa ini hanya menerima tawaran yang tidak memerlukan saya berjauhan dengan anak terlalu lama,” ujarnya. – mStar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.