Krisis MIC Makin Tegang

KUALA LUMPUR – Naib Presiden MIC, Datuk M Saravanan mendesak Presiden Datuk Seri G Palanivel mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) tergempar dalam masa 24 jam.

 

Beliau berkata mesyuarat tergempar itu penting bagi menjelaskan kesahihan pemecatan jawatannya selaku pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Wilayah Persekutuan.

 

“Palanivel keluarkan kenyataan katakan saya dipecat pada petang semalam dan saya terima mesej daripada beliau pada sebelah malam meminta saya terus memegang jawatan itu pula.

 

“Pagi ini, ketika saya memasuki ibu pejabat MIC, saya dihalang oleh 20 orang samseng dan menyerahkan surat pemecatan saya yang ditandatangani Palanivel. Saya pun keliru,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat MIC di sini, semalam.

 

Kelmarin, Palanivel melantik Datuk Rajoo Vyraperumal sebagai pengerusi baharu Jawatankuasa Perhubungan MIC Wilayah Persekutuan bagi menggantikan Saravanan.

 

Beliau turut melantik Tan Sri Ramasamy Muthusamy sebagai pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MIC Perak menggantikan Palanivel manakala Datuk Ganesan Arumugam mengambil alih jawatan Datuk S. Sothinathan sebagai pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Negeri Sembilan.

 

Saravanan turut menegaskan jika Palanivel gagal mengadakan mesyuarat tergempar itu, maka beliau akan mengadakan mesyuarat tergempar CWC dengan sokongan 15 anggota CWC.

 

Saravanan berkata, beliau akan meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyelesaikan krisis MIC selaku Pengerusi BN jika Palanivel masih tidak menyelesaikan kemelut parti dengan segera.

 

Sementara itu, Saravanan berkata beliau turut menerima panggilan ugutan ditembak  daripada orang yang tidak dikenali semasa sidang media itu.

 

Panggilan yang didengari melalui pembesar suara itu turut mengugut akan menembak Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam.

 

Saravanan mengarahkan Pemuda MIC membuat laporan polis berhubung ugutan itu.

 

Kemelut parti itu bertambah hangat apabila Saravanan dan Ketua Wanita MIC Mohana Muniandy dihalang  beberapa individu yang tidak dikenali dari memasuki bangunan MIC  semalam dan keadaan itu terus mencetuskan sedikit kekecohan.

 

Kemelut MIC bermula pada 5 Disember  lalu apabila Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengarahkan parti itu mengadakan pemilihan semula bagi tiga jawatan naib presiden dan 23 jawatan anggota CWC dalam tempoh 90 hari berikutan aduan penyalahgunaan kuasa dan perbuatan salah laku yang melanggar perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.