Kerana Gambar, Neelofa Dikecam Peminat

Selepas menimbulkan tanda tanya ramai peminat mengenai gosip bakal berkahwin dengan seorang kerabat diraja, timbul pula kisah panas pelakon jelita Neelofa mengenai satu gambar di muat naik ke laman sosial Instagram miliknya baru-baru ini.

 

Foto itu menunjukkan kepala selebriti popular itu disentuh individu yang didakwa seorang ulama. Lantaran itu, ramai peminat memberikan komen negatif dan mempertikaikan perilakunya memandangkan dia kini sudah tampil dengan imej berhijab dan seharusnya lebih menjaga adab.

 

Mengulas hal tersebut, Neelofa menyatakan dia tidak menyangka gambar itu mencetuskan isu panas walhal dia sekadar mahu berkongsi dengan pengikutnya.

 

Jelasnya, individu itu ialah salah seorang saudara kepada bapa saudaranya yang diundang ke majlis perkahwinan sepupunya, baru-baru ini.

 

“Kalaulah saya tahu ia akan cetus kontroversi, memang saya tidak akan muat naik gambar itu di mana-mana laman sosial.

 

“Gambar itu dirakamkan ketika saya menghadiri sebuah majlis perkahwinan saudara  saya.

 

“Selain dihadiri saudara mara terdekat dari Kelantan dan Singapura, saudara mara yang sudah lama kami tidak berjumpa juga semua berkumpul pada majlis itu termasuk kenalan bapa saudara saya dari Pakistan, Maulana Qari Faiz Uddin Hazarvi.

 

“Maulana menganggap saya dan sepupu saya yang lain seperti anaknya. Dia bahasakan kami ‘mera bette’ (anak saya).

 

“Jadi, itu cara dia layan kami dan gambar itu diambil secara spontan.

 

“Disebabkan hanya sekeping gambar ramai yang membuat andaian yang macam-macam. Padahal mereka tidak tahu apa yang berlaku ketika itu,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media pengumuman Top 5 Anugerah Meletop Era, bertempat di Kuala Lumpur, petang tadi.

 

Tidak cukup dia dikritik, hal itu menjadi lebih panas apabila adik perempuannya pula iaitu Ameera, lantang membalas kritikan-kritikan tersebut dengan bahasa kesat.

 

Kata bekas pengacara Nona ini, dia ada menasihatkan adiknya agar tidak membalas apa-apa kerana tahu isu itu akan lebih berpanjangan jika Ameera berbuat sedemikian.

 

Namun, adiknya tetap berdegil. Begitupun, Neelofa menyatakan adiknya telah mendapat pengajaran daripada tindakannya sendiri.

 

“Sebenarnya tidak adil untuk dia (Ameera) juga apabila dikecam seperti itu. Lagipun dia bukan artis dan masih budak lagi berusia14 tahun. Kasihanlah dia.

 

“Apabila sudah ramai yang memberi komen negatif, dia mula sedar dan belajar daripada kesilapannya,” ujarnya.

 

Dalam pada itu, Neelofa sempat mengulas pula desas desus dia akan mendirikan rumah tangga dengan kerabat diraja yang diperkatakan ramai selama ini.

 

“Saya harap semua boleh faham yang pihak lagi satu itu adalah bukan orang biasa dan itu yang buat saya susah nak bagi komen. Saya mengambil pendekatan tidak mahu memberi sebarang komen mengenai hal itu malah sejak dari awal lagi saya tidak komen apa-apa.

 

“Saya tidak pernah cakap yang saya hendak memberi apa-apa kenyataan. Saya tidak mahu cakap apa-apa kerana ia pasti akan terus dikaitkan dengan hal lain pula nanti dan isu ini akan jadi lebih berpanjangan,” tegasnya yang turut mengakui pada awalnya tertekan apabila seringkali dikaitkan dengan gosip tersebut tetapi sekarang dia lebih tenang.

 

Melihat dirinya kini yang bahagia seperti sedang dilamun cinta, pihak media cuba mengusik gadis berusia 26 tahun ini apakah benar dia sedang dalam fasa itu,

 

“Kalau saya tidak mahu cakap boleh tak?,” ujarnya sambil tergelak kecil.

 

Sementara itu, mengenai perkembangan kerjaya, Neelofa akan berganding dengan Datuk AC Mizal dan Nabil Ahmad selaku hos untuk Anugerah Meletop Era (AME) yang akan berlangsung pada 22 Februari ini, di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

 

Selain itu, selepas dua tahun tidak aktif berlakon tahun ini Neelofa mahu kembali ke set penggambaran dan sedang rancak menguruskan perniagaannya serta baru membuka butik di Taman Tun Dr Ismail di sini.

 

“Saya ada tawarkan lima telefilem tapi semuanya masih dalam pertimbangan lagi. Selain itu, butik saya baru buka di TDDI dan di situ saya gabungkan semua bisnes iaitu Abayya, tudung dan kanta lekap”, katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.