Kenyataan Guan Eng Tidak Adil

Shah Alam – Kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang mendakwa Kerajaan Negeri Kelantan gagal menangani krisis banjir yang melanda negeri tersebut disifatkan sebagai satu kenyataan yang tidak adil dan tidak matang.

 

Bagi Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Khalid Abdul Samad, adalah tidak wajar untuk Guan Eng membuat pentafsiran seperti itu tanpa mendapat penjelasan daripada pihak kerajaan negeri sendiri.

 

Menurutnya, Guan Eng seharusnya tahu kekangan dan halangan yang dihadapi oleh kerajaan negeri dalam menghadapi musibah banjir sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

 

“Kerajaan Kelantan tidak memiliki bot, helikopter, sebaliknya kemudahan tersebut hanyalah dimiliki oleh kerajaan pusat. Sekiranya berlaku krisis besar seperti itu ia adalah tertakluk di bawah tanggungjawab kerajaan pusat untuk arahkan pihak tentera dan polis secepat mungkin untuk membantu,”katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Shah Alam.

 

Tambahnya, beliau turut menasihatkan Setiausaha Agung DAP itu supaya tidak terus menjatuhkan hukuman terhadap kerajaan Kelantan.

 

Bagaimanapun Ahli Parlimen Shah Alam tidak menafikan bahawa kerajaan Kelantan tidak dilatih berkenaan pengurusan krisis seperti mana tentera dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

 

“Pihak yang dilatih untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat adalah tentera, polis dan bomba. Mereka merupakan pihak profesional dalam bidang ini namun tidak dikerahkan sepenuhnya oleh Kerajaan Barisan Nasional.

 

“Sudah pasti PAS akan melakukan post mortem bagi melihat kepada permasalahan ini bagi mencari penyelesaian,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.