Jual RM100 Satu Pasport, Lelaki Dicekup Imigresen

Seorang lelaki tempatan ditahan Jabatan Imigresen, kerana disyaki menjalankan aktiviti memalsukan pasport dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) warga asing, dalam serbuan di sebuah kedai gambar di Kampung Melayu Pandan, pada Rabu.

 

Timbalan Penolong Penguatkuasa Imigresen 1, Zikiria Abdul Rahman berkata, lelaki berusia 44 tahun itu ditahan dalam serbuan jam 2.30 petang tadi, selepas pihaknya melakukan intipan sejak beberapa hari lalu.

 

Katanya, turut dirampas dalam serbuan itu adalah tiga keping pasport milik warga Indonesia dan Vietnam, 78 keping salinan pasport dan 77 keping PLKS disyaki palsu serta beberapa peralatan percetakan.

 

“Siasatan awal mendapati, lelaki terbabit akan membuat salinan tambahan pasport dan PLKS milik warga asing yang datang untuk menuntut salinan dokumen mereka.

 

“Salinan tambahan itu kemudiannya diubah suai, sebelum dijual kepada warga asing, terutama bagi mereka yang tidak mempunyai kedua-dua dokumen berkenaan, pada harga RM40 hingga RM100 setiap satu,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

 

Zikiria berkata, lelaki terbabit dipercayai menjalankan aktiviti itu, sejak beberapa tahun lalu dan mampu memalsukan kira-kira 20 pasport dan PLKS sehari.

 

Katanya, kes lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.