Jangan Tuding Jari, Sama-Sama Muhasabah Diri – Rohani

Kota Damansara – Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat meminta agar orang ramai tidak menuding jari kepada mana-mana pihak berikutan kejadian kanak-kanak berusia lima tahun yang terjatuh dari tingat 6, Blok B, PPR Seksyen 8, Kota Damansara, Selangor, petang semalam.

 

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, kejadian ini bukanlah yang pertama berlaku kerana sebelum ini seorang kanak-kanak berusia lima tahun juga terlibat dengan kemalangan sama.

 

“Ia merupakan kes kemalangan yang tidak diduga dan ia boleh terjadi kepada sesiapapun. Saya mengambil kesempatan ini untuk berjumpa ibu mangsa, Nor Sahura Muhammad untuk mengucapkan takziah.

 

“Apa yang terjadi semalam terhadap arwah anaknya, Mohd Zulhazrik Alden diharap tidak berlaku lagi pada masa akan datang. Marilah kita sama-sama mengambil iktibar atas apa yang berlaku dan sama-samalah kita pertingkatkan tahap keselamatan anak-anak kita,” katanya kepada pemberita semasa mengadakan lawatan ke rumah keluarga mangsa.

 

Beliau berkata, semasa bertemu ibu mangsa, Rohani turut menawarkan khidmat kaunseling memandangkan Nor Sahura masih lagi dalam keadaan trauma dan bersedih ke atas pemergian anak bongsunya dari lima beradik.

 

“Ibu mangsa sudah mendidik anak-anaknya sebaik yang mungkin dan beliau juga melarang anak-anaknya keluar tanpa pengetahuannya.

 

“Itu dah jadi amalan keluarganya. Saya minta agar dia tidak mempersalahkan dirinya dan jangan berputus harapan. Jiran-jiran juga diharapnya mengambil iktibar dan sama-sama menasihati jika nampak kanak-kanak bermain di kawasan yang berbahaya. Kalau ada jeriji yang rosak cepat-cepat buat aduan kepada pihak penyelenggaraan,” katanya.

 

Dalam pada itu, Rohani juga akan memaklumkan hal ini kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) agar langkah meningkatkan tahap keselamatan di kawasan perumahan PPR Seksyen 8 dapat dipertingkatkan secepat yang mungkin.

 

“Penduduk kawasan ini buat aduan yang perumahan ini tidak selamat untuk diduduki kerana jeriji tembok penghadangnya reput, pagar rosak, lif rosak tidak berlampu dan tangga tidak mempunyai pemegang.

 

“Insya-Allah saya akan cuba menyuarakan hal ini kepada Menteri KPKT, Datuk Rahman Dahlan agar pihaknya boleh meningkatkan rekabentuk tembok penghadang yang lebih kukuh kerana dari segi keseluruhan tahap keselamatan PPR Seksyen 8 tidak selamat untuk didiami,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.