Bukti Rayuan Kerajaan Negeri Sembilan Ada Nilai

SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan melahirkan kesyukuran berikutan Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung isu lelaki Islam yang dibenarkan berpakaian wanita.

 

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kebenaran yang diberikan panel hakim Mahkamah Persekutuan itu menggambarkan rayuan dibuat mempunyai kepentingan.

 

“Alhamdulillah, rayuan kita diterima Mahkamah Persekutuan. Bukan semua kes boleh dibuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan kerana mahkamah akan melihat kes itu boleh didengar rayuan atau tidak.

 

“Panel hakim di Mahkamah Persekutuan akan melihat dulu rayuan yang dibuat ada nilai atau tidak. Bagi saya, kebenaran yang diberikan panel hakim bermaksud rayuan kita ada nilai,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri, di sini, semalam.

 

Kelmarin, kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) berjaya dalam permohonan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung isu berkenaan.

 

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif sebulat suara membenarkan permohonan kerajaan negeri, Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan pengarahnya, Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama serta Ketua Pendakwa Syarie negeri. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.