Bezakan Rotan Mendidik, Mendera

TIADA apa yang salah sebenarnya dengan cadangan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebelum ini untuk menjadikan amalan merotan anak sebagai satu kesalahan jenayah di sisi undang-undang.

 

Jika ada yang salah pun mungkin hanya kerana maklumat pertama yang disampaikan kepada media itu tidak lengkap dan seterusnya menyebabkan berlakunya silap faham di kalangan ibu-bapa, guru dan masyarakat keseluruhannya.

 

Peruntukan sedia ada, iaitu seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 sebenarnya telah menjadikan memukul dan merotan itu satu kesalahan.

 

Cuma, definisi merotan sebagai mendidik dengan merotan untuk mendera itu yang masih kabur.

 

Ibu-bapa yang merotan anak dengan niat mendera tetap menjadi satu kesalahan berdasarkan undang-undang sedia ada.

 

Berdasarkan cadangan akta baharu kelak pula, merotan itu sendiri secara mutlak tidak semestinya menjadi satu kesalahan kerana Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) sama sekali tidak mengetepikan realiti budaya setempat.

 

Adapun kebenaran merotan di dalam agama Islam itu sendiri juga tidaklah secara mutlak kerana ia tetap memiliki had tertentu sesuai dengan hikmah pengsyariatannya iaitu bagi mendidik anak-anak, bukan melepaskan geram.

 

Hakikatnya, definisi, skop dan matlamat merotan atau memukul itu sama ada menurut CRC, agama Islam dan undang-undang sedia ada ketika ini sememangnya tidak bercanggah.

 

Cuma, ia perlu diperjelaskan lagi batasan merotan bagi mendidik dan merotan dengan niat mendera.

 

Cadangan penggubalan akta baru ini juga dilihat penting kerana peruntukan sedia ada dilihat membuka ruang kepada berlakunya diskriminasi hukuman berasaskan gender apabila kanak-kanak lelaki boleh dikenakan hukuman rotan sehingga 10 kali sebatan atas kesalahan jenayah berasaskan peruntukan Seksyen 91(1)(g) Akta Kanak-Kanak 2001.

 

Pengemis Soh
Bangsar, Kuala Lumpur

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.