Berhabis Puluhan Ribu Ringgit Demi Manchester United

Kuala Lumpur: Kegilaannya terhadap pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester United (MU) menyebabkan dirinya sanggup berhabis ribuan ringgit untuk membeli pelbagai koleksi memorabilia yang berkaitan dengan pasukan kegemarannya itu.

 

Malah, sebuah set figura pemain dan jersi pasukan berkenaan turut dijadikan sebagai hadiah hantaran oleh isterinya kepadanya ketika majlis pernikahan mereka.

 

Peminat bolasepak terbabit, Zulhilmi Ahmad Bustami, 31, berkata, dia tidak pernah merasakan hobinya itu sia-sia kerana segala pelaburan terhadap minatnya itu berbaloi.

 

Malah, jika diteliti daripada segi koleksinya itu, dia bukan hanya berbelanja besar untuk mengumpul jersi kelab bergelar ‘The Red Devils’ terbabit, malah koleksinya juga merangkumi pelbagai aksesori dan barangan kelab berkenaan seperti set figura pemain, DVD, buku, skarf, kad pemain, cawan dan rantai kunci.

 

“Saya adalah peminat setia Manchester United dan jika dihitung, saya berbelanja lebih RM30,000 untuk mengumpul segala koleksi barangan kelab itu dan hobi ini saya mulakan sejak saya belum berkahwin lagi enam tahun lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Permata, di sini, baru-baru ini.

 

Dia yang berkhidmat dalam bidang perniagaan makanan memberitahu minatnya terhadap Manchester United bermula apabila bapanya membelikan sehelai jersi pasukan itu ketika umurnya 11 tahun.

 

“Dua orang kawan saya, Ruhaizad Baharuddin dan Errol Haizi mendorong saya membuat koleksi dengan mengumpulkan barangan kelab berkenaan dan bermula dari situ, saya mula mencari jersi dan memorabilia lain secara dalam talian,” katanya.

 

Menurutnya, sehingga kini dia mempunyai lebih daripada 60 helai jersi Manchester United dari musim 1988 hingga musim sekarang selain beraneka jenis memorabilia.

 

Berlainan pula dengan pasangan adik-beradik, Abu Bakar Abdul Jabar, 48, dan Zulkifli Abdul Jabar, 35, yang turut mempunyai koleksi sama, tetapi lebih memfokuskan koleksi mereka kepada pelbagai pasukan kelab dan negara selain pemain legenda.

 

“Kami anggarkan kami berbelanja antara RM20,000 hingga RM25,000 kerana kami kumpul barangan sejak Piala Dunia 1994.

 

“Namun, kami tidak tertumpu kepada satu pasukan sahaja, sebaliknya lebih bersifat menyeluruh apabila pasukan yang tidak begitu diminati seperti Olympiakos, Olympique Lyon, Fenerbahce dan Sanfreece Hiroshima turut menjadi hasil koleksi kami,” kata Abu Bakar.

 

Dia adalah peminat Manchester United dan Jerman manakala Zulkifli pula adalah penyokong Chelsea dan Perancis.

 

Kebanyakkan koleksi jersi mereka banyak membabitkan pemain legenda seperti Thierry Henry, David Trezeguet, Samuel Eto’o, Dennis Bergkamp dan David Beckham.

 

“Pernah juga saya disapa seorang pelancong asing ketika berjalan di ibu kota bertanyakan mengenai jersi Belanda tahun 1996 serta mempunyai nama Dennis Bergkamp di belakang badan. Pelancong terbabit sanggup membayar RM1,000 bagi mendapatkan jersi yang saya pakai itu,” katanya.

 

Namun, dia menolak tawaran itu kerana merasakan jersi berkenaan sangat berharga dan susah untuk diperoleh di pasaran pada waktu sekarang.

 

“Apa yang saya lihat orang mula mengumpul memorabilia bola sepak terutama jersi pasukan sejak kebelakangan ini kerana jersi atau aksesori lain senang untuk didapati sedangkan pada zaman kami, ianya agak sukar dan hanya beberapa kedai di Kuala Lumpur sahaja yang menjual jersi berkenaan,” katanya. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.