Kalimah Allah: Polis Buka Lima Kertas Siasatan

KUALA LUMPUR – Lima kertas siasatan dibuka berhubung isu kalimah Allah termasuk kenyataan pengarang The Herald, Paderi Lawrence Andrew dan kejadian melontar ‘molotov cocktail’ atau bom api ke pekarangan sebuah gereja di Pulau Pinang Isnin lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis menerima sebanyak 462 laporan di seluruh negara berhubung isu itu dan ia sedang disiasat, termasuk perbincangan dengan pihak Jabatan Peguam Negara bagi memastikan tindakan selanjutnya.

“Insiden yang ada kaitan dengan kalimah Allah ini masih berlaku…antaranya mempamerkan kain rentang dengan perkataan-perkataan mempersendakan pegangan agama tertentu dan kejadian melontar ‘molotov cocktail’ ke pekarangan sebuah gereja (di Pulau Pinang).

“Kita pandang serius perkara ini, perbuatan seperti ini hendaklah dihentikan serta merta dan saya beri amaran tegas kepada mereka-mereka yang tidak bertanggungjawab ini untuk menghentikan perbuatan provokasi yang boleh ancam ketenteraman awam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis serah/terima tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Datuk Seri Syed Ismail Syed Azizan yang bersara wajib kepada Timbalan Pengarah 1 JSJK Datuk Tajudin Isa yang memangku jawatan itu.

Khalid berkata setakat ini, belum ada tangkapan dibuat berhubung insiden melontar bom api itu di pekarangan gereja di Lebuh Farquhar, George Town.

Beliau menasihatkan mana-mana pihak tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh memudaratkan ketenteraman awam kerana kes kalimah Allah masih di peringkat rayuan di Mahkamah Persekutuan, seiring dengan kenyataan Peguam Negara sebelum ini.

“Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mengeluarkan kenyataan atau mencetuskan insiden-insiden menghina keputusan mahkamah, menghasut atau perbuatan yang boleh memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan negara,” katanya.

Pada 14 Okt tahun lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali sebulat suara membenarkan rayuan kerajaan untuk melarang The Herald daripada menggunakan kalimah Allah.

Mahkamah mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penerbitan itu menggunakan kalimah Allah dalam edisi bahasa Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.