Mohamad Persoal Keperluan Inkues Untuk Tentukan Punca Kematian Arwah Adib

SHAH ALAM – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mempersoalkan keperluan mengarahkan satu inkues untuk menentukan punca kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Mohamad yang kini menjalankan tugas-tugas Presiden berkata, ini kerana pihak polis sedang menyiasat kes kematian Allahyarham Muhammad Adib yang telah diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun keseksaan.

“…mengapa Peguam Negara mengarahkan satu inkues kematian dibuat walhal pihak polis sedang atau masih menyiasat kes kematian Arwah Adib ini sebagai Kes Bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun keseksaan?

“Adakah Peguam Negara sudah tidak percaya dengan kredibiliti dan kecekapan pihak polis melakukan tugas siasatan kes bunuh ini?,” katanya dalam satu kenyataan di laman Instagram.

Semalam Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa Peguam Negara, Tommy Thomas akan mengarahkan Majistret untuk membuat inkues bagi menentukan sebab kematian Muhammad Adib.

Menurut Muhyiddin, beliau dimaklumkan sendiri oleh Tommy hasil perbincangan yang diadakan selepas penemuan dapatan tertentu polis menerusi rakaman percakapan saksi, lakonan semula dan hasil bedah siasat pihak forensik patalogi yang hanya boleh didedahkan di mahkamah kelak.

Dalam pada itu, Mohamad turut mempersoalkan mengapa kenyataan mengenai inkues itu dilakukan oleh Muhyiddin dan bukan Peguam Negara sendiri.

“..saya terpanggil untuk bertanya kenapa Menteri KDN yang memberi pernyataan akhbar tersebut dan bukan Peguam Negara sendiri?

“Ini memberi persepsi kepada rakyat Malaysia bahawa Menteri KDN campur tangan terhadap urusan siasatan polis dan pendakwaan Peguam Negara,” ujar Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tokmat.

Dalam pada itu, tambah Mohamad,  tindakan untuk mengarahkan inkues kematian hanya untuk menyiasat punca kematian, sedangkan apa yang lebih penting adalah menyiasat pelaku yang menyebabkan kematian anggota bomba itu. 

“Sudah tentu satu tindakan menyiasat ‘punca kematian’ dan menyiasat ‘siapa yang menyebabkan kematian’ Arwah Adib merupakan objecktif yang berlainan.

“Kenapa pihak Kerajaan menerusi Peguam Negara cuba memesongkan pandangan rakyat yang menunjukkan seakan-akan kematian Arwah Adib terbela walhal pembunuh Adib masih bebas.

“Saya amat simpati dengan keluarga Arwah Adib yang sehingga kini tertanya-tanya siapakah pembunuh anak mereka.

“Saya meminta pihak polis menyelesaikan siasatan kes berkenaan dengan segera dan pihak Pejabat Peguam Negara sebagai Pendakwaraya perlu tegas menerusi siasatan Pegawai Penyiasat Polis bagi menentukan samada Arwah Adib dibunuh, siapa tertuduhnya dan bukannya menggunakan prosiding inkues kematian oleh sebuah Mahkamah Koronor bagi tujuan bagaimana Arwah Adib meninggal dunia dan bukan mencari pembunuhnya.

“Rakyat sekarang melihat samada Kerajaan ini mematuhi Rule of Law atau hanya menggunakan prosidur undang-undang bagi melenggah-lenggahkan Keadilan,” ujarnya lagi. 

Sebelum ini Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) juga menyatakan tiada keperluan inkues bagi menentukan sebab kematian Allahyarham Muhammad Adib kerana hanya akan melengah-lengahkan keadilan kepada keluarga mangsa.

Ia juga turut mengundang bantahan netizen kerana berpandangan kes berkenaan sudah diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh, malah doktor pakar yang terbabit dalam bedah siasat juga akan mengemukakan laporan punca kematian anggota bomba itu. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.