Lelaki Nyanyuk Pandu Lawan Arus Punca Kemalangan

KUALA LUMPUR – Kereta Toyota Altis berwarna kelabu yang melawan arus di Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) dekat Setia Alam, Shah Alam, pada Khamis lalu yang rakaman video mengenainya viral di laman sosial sejak kelmarin, rupa-rupanyanya dipandu seorang lelaki nyanyuk.

 

Perkara itu disahkan pihak polis yang mengambil keterangan warga emas berusia 77 tahun berkenaan ketika dia tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam untuk diambil keterangan semalam.

 

Pegawai Turus Cawangan Trafik Selangor, Deputi Superintenden Azmi Mansor berkata, lelaki itu datang ke balai polis dengan ditemani anak-anaknya selepas dihubungi pihak polis kelmarin.

 

Menurutnya, ketika diambil keterangan, warga emas itu sukar menjawab pertanyaan yang diajukan pegawai penyiasat terhadapnya.

 

“Berdasarkan kenyataan anaknya, warga emas itu tidak dibenarkan memandu kenderaan malah ahli keluarganya juga pelik bagaimana dia dapat kunci kereta tersebut.

 

“Salah seorang anaknya memberitahu, lelaki itu sebenarnya hendak ke Kajang tetapi tersalah jalan dan menghala ke Setia Alam. Malah dia juga lupa jalan balik ke rumahnya di Dengkil,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

 

Pada 24 Disember lalu, seorang pemilik akaun Facebook memuat naik rakaman video berhubung tindakan seorang pemandu yang memandu kereta secara lawan arus berhampiran tol Setia Alam.

 

Video berdurasi 54 saat itu telah menjadi viral dan ditonton lebih 30,000 pengguna Facebook selain dikongsi 329 pengguna laman sosial.

 

Berikutan itu, polis yang melakukan siasatan memanggil pemandu kereta tersebut bagi membantu siasatan kerana tindakan tersebut turut menyebabkan sebuah kereta Toyota Estima terbabas di bahu jalan selepas cuba mengelak daripada bertembung dengan kenderaan berkenaan.

 

Kata Azmi, ahli keluarga warga emas itu turut membawa laporan perubatan yang menyatakan dia menghidap kencing manis dan darah tinggi yang kronik. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.