Kronologi Kes Menarik Perhatian Umum Sepanjang Tahun 2015

KUALA LUMPUR – Berikut adalah kronologi kes yang menarik perhatian awam dan perkembangan dalam sistem undang-undang yang berlaku pada tahun 2015:

 

JANUARY:

 

13 Jan – Mahkamah Persekutuan mengenepikan keputusan membebaskan dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Cif Inspektor Azilah Hadri, 38, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 43, terhadap tuduhan membunuh model Mongolia, Altantuya Shaariibuu dan dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mendapati mereka bersalah membunuh wanita itu dan menjatuhkan hukuman mati terhadap mereka.

 

21 Jan – Majalah mingguan gereja Katolik, Herald, dilarang daripada menggunakan kalimah ‘Allah’ untuk merujuk kepada Tuhan apabila ia gagal dalam percubaan terakhirnya mengggunakan saluran perundangan, untuk Mahkamah Persekutuan mendengar semula permohonannya bagi kebenaran untuk merayu.

 

FEBRUARI:

 

10 Feb – Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan terhadap sabitannya meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan. Anwar bekas Anggota Parlimen Permatang Pauh kini menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh.

 

MAC:

 

6 Mac – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, atas kapasiti peribadinya, memfailkan saman fitnah terhadap Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua Kiam Wee dan pemilik portal online Mediarakyat.net, Chan Chee Kong berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

 

18 Mac – Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung parti, Datuk Mustafa Ali diarah membayar ganti rugi RM200,000 kepada bekas timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuan mereka berhubung artikel berkaitan ‘Projek IC Sabah’.

 

20 Mac – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan saman fitnah terhadap Pengarah Urusan Harakah Dr Rosli Yaakob dan Ketua Pengarang Portal Harakahdaily, Taufek Yahya berhubung isu dana 1MDB.

 

30 Mac – Lima lelaki termasuk dua beradik didenda RM2,500 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana merusuh semasa perlawanan bola sepak separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki antara Malaysia dan Vietnam di Stadium Shah Alam, pada 7 Dis tahun lepas.

 

APRIL :

 

1 April – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun selepas dia didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

 

Yang di-Pertuan Agong menolak permohonan Anwar dalam mesyuarat lembaga itu pada 16 Mac.

 

17 April – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor memfailkan saman fitnah terhadap Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli dan pemilik portal ‘Media Rakyat’ Chan Chee Kong berhubung isu subsidi minyak.

 

30 April – Restoran Hameeds Corner di Seksyen 16, Shah Alam menjadi yang pertama di negara ini dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan di bawah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 2014 sejak GST dilaksanakan 1 April.

 

MEI:

 

12 Mei – Kerajaan bersetuju untuk membayar RM600,000 sebagai ganti rugi kepada keluarga mendiang Teoh Beng Hock sebagai penyelesaian dalam saman kecuaian yang difailkan oleh keluarganya terhadap kerajaan dan 13 yang lain atas kematian Teoh, selepas kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan saman itu.

 

JUN:

 

12 Jun – Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara tiga hari dan denda RM5,000 atau tiga bulan penjara terhadap empat pelancong Barat kerana melakukan perbuatan lucah di Gunung Kinabalu.

 

15 Jun – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor memfailkan saman terhadap Anggota Parlimen Taiping Nga Kor Ming atas dakwaan memuat naik gambar berunsur fitnah mengenai mereka berdua dalam akaun Facebook Nga pada Mac.

 

18 Jun – Mahkamah Persekutuan menolak permohonan untuk kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang dikemukakan oleh PAS, DAP dan PKR untuk membatalkan keputusan pilihan raya umum ke-13 di kesemua 222 kawasan Parlimen.

 

30 Jun – Penjual tembikai, Murad Halimmuddin, 49, dihukum penjara 18 tahun manakala anak lelakinya, Abu Daud, 25, dihukum penjara 12 tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan terlibat dengan aktiviti keganasan.

 

JULAI:

 

3 Julai – Mahkamah Tinggi Pulau Pinang memerintahkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng membayar ganti rugi RM500,000 kepada Anggota Dewan Undangan Negeri Teluk Air Tawar Datuk Jahara Hamid kerana memfitnahnya dengan gelaran ‘nenek rasis’.

 

28 Julai – Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata perkhidmatan Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai Peguam Negara ditamatkan mulai 27 Julai atas sebab-sebab kesihatan dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Mohamed Apandi Ali dilantik sebagai Peguam Negara yang baharu berkuat kuasa pada tarikh sama.

 

OGOS:

 

17 Ogos – Kes saman aktivis sosial Datin Paduka Marina Mahathir terhadap presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan 12 lagi selesai selepas wakil ISMA melahirkan kekesalan menyiarkan artikel yang mengaitkan Marina sebagai dalang dalam aktiviti Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Hak Asasi Manusia (Comango).

 

25 Ogos – Mahkamah Persekutuan memutuskan ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah tidak berhak menerima bayaran komisen RM20 juta daripada Merong Mahawangsa Sdn Bhd untuk khidmatnya mendapatkan projek ‘Jambatan Bengkok’ di Johor Baharu.

 

SEPTEMBER:

 

3 Sept – Tiga rakan dihukum penjara seumur hidup dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah menculik seorang budak lelaki warga Belanda, di hadapan Mont Kiara International School, tiga tahun lalu.

 

7 Sept – Bekas pembantu rumah Nirmala Bonat menerima ganti rugi RM349,496 bagi tuntutan sivil beliau terhadap bekas majikannya untuk kecederaan dan kesakitan yang dialami semasa diambil bekerja 11 tahun lalu berikutan keputusan Mahkamah Rayuan.

 

8 Sept – Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah dan tujuh lagi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana menyertai protes jalanan #KitaLawan pada 28 Mac.

 

9 Sept – Seorang arkitek Mohd Syafrien Rasid, 27, dan juruteknik Mohamad Yusoffe Ishak, 27, masing-masing dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi kesalahan cuba memberi sokongan kepada kumpulan militan IS.

 

11 Sept – Penganggur, Nazirul Abidin Thalha, 24, dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana memiliki bahan penerbitan berkaitan perlakuan pengganas.

 

21 Sept – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan keputusan Kementerian Dalam Negeri yang menggantung sementara penerbitan The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily dalam tindakan undang-undang ke atas artikel mengenai 1MDB yang diterbitkan The Edge.

 

28 Sept – Enam lelaki didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh Timbalan Pendakwa Raya Anthony Kevin Morais manakala dua lagi, termasuk doktor tentera, dituduh bersubahat melakukan kesalahan itu.

 

29 Sept – Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 12 bulan terhadap bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo atas kesalahan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh tanah dan sebuah banglo di Shah Alam, lapan tahun lepas.

 

OKTOBER:

 

5 Okt – Bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan menerbitkan penerbitan menghasut yang mendakwa Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah sebagai murtad di akaun Facebook milik beliau.

 

6 Okt – Mahkamah Persekutuan memutuskan Akta Hasutan 1948, undang-undang praMerdeka, ialah undang-undang yang sah dan boleh dikuatkuasakan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

 

Panel itu membuat keputusan dalam kes Profesor Madya Undang-Undang Universiti Malaya Dr Azmi Sharom yang mencabar perlembagaan Akta Hasutan.

 

8 Okt – Mahkamah Persekutuan mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Enakmen Syariah Negeri Sembilan yang menghukum lelaki berpakaian wanita tidak melanggar perlembagaan.

 

8 Okt – Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak permohonan kerajaan negeri untuk membatalkan perintah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengisytiharkan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) negeri itu sebagai sebuah pertubuhan haram.

 

9 Okt – Bekas penceramah bebas, Zulqarnain Ghaz Ab Ghani, 31, dihukum penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan memasuki Syria bagi menyokong perbuatan pengganas, tahun lepas.

 

12 Okt – Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguam Matthias Chang Wen Chieh didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas tuduhan cuba melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara.

 

20 Okt – Mahkamah Persekutuan menolak permohonan tiga anggota Parti Gerakan Tuan Mat Tuan Wil, Soh Hoon Lee and Chung Mon Sieto bagi kebenaran untuk mencabar perlembagaan undang-undang hudud Kelantan selepas memutuskan bahawa mereka gagal membuktikan bahawa mereka akan terjejas oleh undang-undang berkenaan.

 

21 Okt – Mahkamah Persekutuan menolak permohonan bekas Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel dan dua yang lain bagi kebenaran merayu terhadap arahan Pendaftar Pertubuhan (RoS) agar parti itu mengadakan pemilihan semula selepas memutuskan perkara itu bersifat akademik. Dengan keputusan itu, arahan RoS dikekalkan dan Datuk Seri S. Subramaniam diperakui sebagai Presiden MIC yang sah.

 

28 Okt – Bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, yang didakwa atas tuduhan memfitnah Datuk Seri Najib Tun Razak, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Ipoh selepas beliau memohon maaf secara terbuka kepada perdana menteri.

 

29 Okt – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan saman terhadap bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik berhubung kenyataan berbaur fitnah yang dibuat ke atasnya.

 

30 Okt – Lelaki warga India yang menampar imam Masjid Negara semasa solat Jumaat pada 18 Sept, didenda RM12,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

 

NOVEMBER:

 

3 Nov – Bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail menegaskan bahawa Malaysia perlu Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk mempertahankan negara daripada sebarang ancaman keganasan, tetapi ia bergantung bagaimana ia ditafsirkan dan dilaksanakan.

 

3 Nov – Seorang bakal pengantin, Azlee Md Salleh, 30, terpaksa meringkuk di penjara selama sembilan bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi atas tuduhan memiliki telefon bimbit yang mengandungi gambar bendera kumpulan pengganas IS.

 

3 Nov – Penganjur Perhimpunan Bersih 4.0 Maria Chin Abdullah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan gagal memberi notis pemberitahuan kepada polis berhubung penganjuran perhimpunan itu pada Ogos lepas.

 

18 Nov – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan pertuduhan mensabotaj perkhidmatan perbankan dan kewangan tidak tertakluk di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

 

19 Nov – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom memfailkan saman fitnah di Mahkamah tinggi Kuala Lumpur terhadap Pengarah National Oversight and Whistleblowers (NOW) Akmal Nasir berhubung dakwaan menggunakan wang Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) bagi membiayai perjalanan ke luar negara.

 

20 Nov – Peguam Da-tuk V.K. Lingam yang terlibat dalam salah laku berhubung klip video berkaitan pelantikan ha-kim, dilarang daripada mengamalkan undang-undang berikutan keputusan Lembaga Disiplin Peguam Bela dan Peguam Cara yang menggugurkannya daripada jawatan itu.

 

24 Nov – Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur daripada dua pertuduhan pecah amanah membabitkan RM49.7 juta dan dua pertuduhan berkaitan menggunakan dana syarikat.

 

25 Nov – Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap bekas pemandu trak tunda, Koong Swee Kwan kerana membunuh pengasas Arab-Malaysian Bank (AmBank) Hussain Ahmad Najadi.

 

26 Nov – Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengulangi bahawa mendiang Timbalan Pendakwa Raya Anthony Kevin Morais tidak terlibat dalam siasatan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan menolak dakwaan bahawa pembunuhannya ada kaitan dengan kes itu.

 

DISEMBER:

 

7 Dis – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan saman bekas anggota Wanita UMNO Bahagian Langkawi, Anina Saadudin berhubung pemecatannya daripada parti itu yang memutuskan bahawa mahkamah tiada bidang kuasa untuk mendengar perkara berhubung pertikaian dan hal ehwal parti politik.

 

15 Dis – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 31 Dis untuk keputusan terhadap permohonan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dan Setiausaha Kerja Datuk Ab Rauf Yusoh untuk membatalkan saman bekas anggota UMNO Langkawi Anina Saadudin berhubung isu derma RM2.6 bilion.

 

15 Dis – Ketua kerani perangkaan, Poziah Harun, 42, dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah melindungi suaminya, pengganas di Syria.

 

16 Dis – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengekalkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM300,000 terhadap bekas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Wahid Md Don kerana menerima rasuah untuk mempercepat kelulusan permohonan visa pekerja Bangladesh, tujuh tahun lepas. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.