Kertas Siasatan SRC International, RM2.6 Bilion Ke Peguam Negara Minggu Depan

KUALA LUMPUR – Kertas siasatan berhubung kes SRC International dan dana RM2.6 bilion akan dikemukakan kepada Peguam Negara minggu depan.

 

Pengarah Operasi Khas SPRM, Datuk Bahri Mohamad Zain dalam satu kenyataan Ahad bahawa kes berkenaan akan dikendalikan SPRM dengan bebas dan profesional.

 

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed telah memberi panduan dan amanat supaya pasukan siasatan kes itu mesti merekodkan syor berkenaan hasil siasatan dengan bebas sama ada terdapat kes atau sebaliknya.

 

“Jika terdapat kes, menjadi tanggungjawab kami (SPRM) untuk mencadangkan pertuduhan dalam laporan Kertas Siasatan yang akan dikemukakan kepada Peguam Negara pada minggu depan. Begitu juga sebaliknya.

 

“Pengurusan tertinggi SPRM berpendirian perkara ini penting bagi memastikan semua pihak mengetahui yang SPRM telah mengambil segala tindakan secara profesional dan bebas,” katanya.

 

Dalam pada itu katanya, Akta SPRM 2009 tidak membolehkan badan itu memaklumkan butiran terperinci siasatan kepada umum.

 

“SPRM tiada masalah untuk mendedahkan butiran siasatan jika ia tidak bercanggah dengan undang-undang. Bagaimanapun peruntukan yang sedia ada tidak membenarkan SPRM berbuat demikian,” katanya.

 

Sebelum ini Ahli Parlimen PKR Pandan, Rafizi Ramli mendesak SPRM mendedahkan penderma dana RM2.6 bilion ke akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

“SPRM berharap semua pihak faham akan perkara ini. Sebagai penggubal undang-undang, diharap YB Rafizi memahami kekangan ini dan mengesyorkan pindaan yang sewajarnya bagi membolehkan SPRM mendedahkan hasil siasatan kes yang disiasat secara terperinci kepada umum,” katanya. – Bnbbc

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.