Dasar Negara Jelas Dalam Isu Atlet Israel – Zahid

KUALA LUMPUR – DAP diingatkan supaya tidak menjadikan sekatan kerajaan ke atas dua atlet Israel ke Malaysia itu kerana sentimen politik dan peribadi khususnya dalam acara sukan antarabangsa.

 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti pembangkang itu perlu mengambil kira sensitiviti umat Islam di negara ini sebelum menyanggah tindakan itu.

 

“Kita mempunyai dasar jelas dari segi hubungan diplomatik Israel, dan langkah yang dibuat oleh DAP sesuatu di luar dari dasar kita.

 

“Saya fikir DAP jangan melihat dari segi aspek dan elemen mereka sahaja, (sebaliknya) mereka harus melihat dari segi satu sensitiviti rakyat terbanyak di negara ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Deklarasi Prioriti 2016: Ekonomi Keutamaan Kita, di sini, hari ini.

 

Beliau mengulas kenyataan Ketua Biro pembangunan Ekonomi DAP Perak, Chong Zhemin pada Sabtu lalu yang mengecam tindakan pihak berkuasa Malaysia kerana menyekat Yoav Omer dan Noy Drihan mengambil bahagian dalam Kejohanan Luncur Angin Belia Dunia di Langkawi, minggu lalu.

 

Zhemin dalam satu kenyataan terbaharu menyifatkan kenyataannya berkait isu atlet Israel telah diputarbelitkan.

 

Sehubungan itu katanya, beliau memutuskan untuk menarik balik kenyataan tersebut.

 

“Saya menyesali kenyataan saya mengenai sekatan atlet Israel ke Malaysia telah diputarbelitkan oleh pihak-pihak tertentu bahawa saya berpihak kepada Israel.

 

“Oleh kerana kenyataan tersebut telah menimbulkan kekeliruan terhadap pendirian saya terhadap perjuangan rakyat Palestin dan regim Israel, saya ingin menarik balik kenyataan tersebut,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.