Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, sesetengah penduduk yang tinggal di sekitar Bandar Lama sudah mula kembali ke kediaman dan premis perniagaan mereka untuk membersihkan kesan lumpur akibat banjir.

Seorang penduduk, Safinas Hassan, 29, bersyukur apabila cuaca di daerah ini sudah semakin baik.

 “Hujan berhenti lebih 10 jam menyebabkan air sedikit surut di kawasan bandar.

“Tetapi saya yang tinggal di Kampung Kerinting masih belum dibenarkan pulang kerana air masih di paras bahaya,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indra Petra 1 di sini hari ini.

Dia bersama keluarga tinggal di pusat pemindahan itu sejak tiga hari lalu.

 Sementara itu, Tan Seng Gong, 58, yang tinggal di Bandar Baru pula berkata, keadaan ketika ini tidak boleh dijangka dan penduduk perlu menjaga keselamatan diri.

“Kita kena tunggu keadaan banjir betul-betul pulih dan arahan seterusnya daripada pihak berkuasa.

“Jangan fikir nak cepat balik dan membersihkan kotoran di rumah kerana cuaca sekarang masih tidak menentu,” katanya.

 Dalam perkembangan lain, pusat pemindahan banjir SMK Tengku Indra Petra 1 masih menempatkan 2,077 mangsa banjir dari Kampung Kerinting, Kampung Lembaga dan Kampung Baru.