Pihak Berkuasa Termasuk Tentera Udara Dan Laut Singapura Digerakkan Untuk Bantu Cari QZ8501

Singapura – Pihak berkuasa Indonesia sudah memulakan operasi mencari dan menyelamat dari Pejabat Mencari dan Menyelamat di Pangkal Pinang.

Menurut kenyataan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS), Pusat Penyelaras Menyelamat Singapura yang disokong agensi lain, termasuk Tentera Udara dan Tentera Laut Republik Singapura telah digerakkan untuk membantu usaha mencari dan menyelamat.

Menurut kenyataan itu, CAAS dan Kumpulan Lapangan Terbang Changi telah menubuhkan Pusat Pengurusan Krisis dan akan bekerjasama dengan pasukan pengurusan krisis syarikat penerbangan AirAsia (Indonesia).

Sementara itu, semua kemudahan yang diperlukan dan sokongan disediakan untuk keluarga dan sahabat penumpang pesawat AirAsia QZ8501 di Tingkat 3, Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Changi.

Pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Juanda di Surabaya dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, pada jam 7.20 pagi, waktu Indonesia Barat (WIB).

Airbus A320-200 itu membawa dua juruterbang, seorang juruteknik, empat anak kapal serta155 penumpang yang terdiri daripada 138 penumpang dewasa, 16 kanak-kanak dan seorang bayi.

Pesawat berkenaan diterbangkan Kapten Irianto.

Menurut Kementerian Pengangkutan Indonesia, seramai 149 penumpang merupakan warganegara Indonesia, tiga rakyat Korea Selata serta masing-masing seorang dari Malaysia, Singapura dan Britain. – RakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.