Pesawat AirAsia Hilang, Terputus Hubungan Dengan Menara Kawalan

Jakarta – Sebuah pesawat AirAsia (Indonesia) dalam penerbangan dari Surabaya ke Singapura dikatakan terputus hubungan dengan menara kawalan trafik udara di Jakarta, pagi tadi.

Portal berita Detik.com melaporkan, pesawat berkenaan dikatakan hilang hubungan ketika melintasi Pulau Kalimantan.

“Kami masih menyiasat perkara ini,” kata Pengurus Besar Angkasa Pura 1 Juanda, Trikora Hardjo.

Sementara itu, portal berita Tempo melaporkan, pesawat QZ8501 dalam perjalanan ke Singapura itu, dijadualkan tiba di destinasinya pada jam 7.20 pagi, waktu Indonesia Barat (WIB).

Pesawat jenis Airbus A320-200 itu membawa dua juruterbang, seorang juruteknik dan empat anak kapal, serta 155 penumpang yang terdiri daripada 138 penumpang dewasa, 16 kanak-kanak dan seorang bayi. Pesawat berkenaan diterbangkan Kapten Irianto.

Menurut Kementerian Pengangkutan Indonesia, 149 penumpang merupakan warganegara Indonesia, tiga warganegara Korea Selatan dan tiga lagi terdiri daripada seorang warganegara Malaysia, seorang rakyat Singapura dan seorang lagi rakyat Britain.

Pesawat tersebut meninggalkan Lapangan Terbang Juanda di Surabaya pada jam 6.36 pagi (WIB) dan perjalanan ke Singapura mengambil masa 2 jam 20 minit.

Sementara itu, kenyataan AirAsia (Indonesia) mengesahkan pesawat yang dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura itu, terputus hubungan dengan menara kawalan pada jam 7.24 pagi Ahad.

“Pada waktu ini, kami masih belum mendapat maklumat lanjut mengenai status penumpang dan kru di dalam pesawat berkenaan tetapi kami akan memastikan semua pihak mendapat maklumat terkini,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata, buat masa ini juga operasi mencari dan menyelamat dilakukan dan AirAsia bekerjasama dalam membantu operasi berkenaan.

“AirAsia juga mewujudkan Pusat Panggilan Kecemasan di talian +622129850801 untuk keluarga dan sahabat penumpang dan kru dalam pesawat berkenaan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menawarkan bantuan kepada Jakarta untuk mencari pesawat QZ8501 yang dilaporkan hilang, pagi tadi.

“Saya tidak dapat banyak maklumat pada masa ini, cuma sudah disahkan bahawa sebuah pesawat AirAsia hilang.

“Kerajaan akan bantu untuk mencari pesawat itu,” katanya kepada media selepas melawat pusat pemindahan banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Tengku, di Lipis, sebentar tadi.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan, pihaknya kini berhubung dengan Kawalan Trafik Udara (ATC) Singapura untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman pula dilaporkan akan berhubung dengan rakan sejawatnya untuk memastikan apa yang berlaku.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.