Pengguna Jalan Raya Ibu Kota Ke Kuantan Dinasihatkan Guna Jalan Persekutuan

Shah Alam – Pengguna jalan raya dari ibu kota yang ingin ke Kuantan dinasihatkan untuk menggunakan Jalan Persekutuan sebagai laluan alternatif berikutan penutupan laluan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) di kilometer 126.
Penutupan laluan berkenaan yang berhampiran susur masuk Temerloh dari arah Kuala Lumpur menghala Kuantan itu dilakukan berikutan air yang mula melimpahi lebuh raya berkenaan sejak pagi tadi.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) yang dihubungi Antarapos menasihatkan pengguna dari ibu kota melalui susur keluar Lanchang dan menggunakan Jalan Persekutuan, sebelum menggunakan susur masuk ke Maran untuk meneruskan perjalanan ke Jabor atau Kuantan.
Begitu juga dengan pengguna dari Jabor yang ingin ke ibu kota, mereka dinasihatkan untuk menggunakan laluan yang sama, sebelum susur masuk semula di Lanchang.
LLM juga memaklumkan laluan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) ke Terengganu masih dibuka dan tiada penutupan jalan dilakukan.
Terdahulu, media melaporkan Temerloh merupakan antara daerah yang terjejas teruk dalam bencana banjir di Pahang apabila paras air Sungai Pahang semakin meningkat sehingga melimpah ke kawasan jalan raya dan kampung berhampiran sungai berkenaan.  – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.