Nik Aziz Uzur, Tidak Dapat Lawat Mangsa Banjir

Kubang Kerian – Ketika Kelantan sedang dilanda bencana banjir paling buruk dalam tempoh 30 tahun, bekas menteri besarnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kini berada di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Krian kerana uzur.

Hal itu disahkan oleh Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali yang menziarahi beliau di hospital berkenaan hari ini melalui melalui posting terbaru di akaun Facebook rasmi beliau, Sabtu.

“Menziarahi Tok Guru Dato’ Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat di HUSM. Marilah kita mendoakan kesihatan dan kesejahteraan buat Tok Guru yang kini dalam keuzuran,” kata Azmin dalam posting berkenaan.

Azmin dikatakan meluangkan masa kira-kira 20 minit menziarahi Nik Aziz sebelum meneruskan lawatan mangsa banjir di sekitar Kelantan.

Sebelum ini anak Nik Aziz, yang juga Ahli Parlimen PAS Pasir Mas, Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz sudah berkongsi mengenai keadaan kesihatan bapanya di akaun Facebook beliau semalam.

Menurut beliau, keadaan kesihatan ayahnya dikatakan semakin baik namun beliau masih ditempatkan di HUSM ekoran keadaan banjir yang sedang melanda Kelantan yang belum menunjukkan tanda-tanda untuk surut.

Walaupun uzur, Nik Aziz yang pernah menjadi menteri besar Kelantan selama 23 tahun bermula 1991 tetap prihatin dengan musibah yang sedang melanda negeri itu.

“Ayahanda bertanya mengenai situasi banjir dan saya beri sedikit maklumat terkini dan kesukaran yang terpaksa ditempuh oleh mangsa dan operasi penyelamat.

“Walaupun sudah agak sihat pagi ini, ayahanda mungkin berehat sedikit masa lagi di sini kerana keadaan banjir yang belum pasti.

“Kiri kanan kampung Pulau Melaka kini menjadi aliran sungai yang deras. Bagaimana pun keadaan terkawal. Kawasan di sekeliling sungai Kelantan terjejas teruk,” kata Nik Abduh di Facebooknya.

Ramai kalangan pengguna media sosial mempertikaikan ketiadaan Nik Aziz melawat mangsa banjir di negeri Kelantan kali ini.

Rata-rata mereka mungkin tidak tahu berkenaan keadaan kesihatan Mursyidul Am PAS itu yang sedang dirawat di hospital.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.