Mangsa Buli Ditahan Polis, Rosakkan Pusat Kebudayaan Dan Pejabat Perubatan

Fresno – Gara-gara marah kerana sering diejek dan dibuli, seorang lelaki bertindak merosakkan Pusat Kebudayaan Islam Fresno dan sebuah pejabat perubatan berhampiran, ketika sambutan Krismas, pada Khamis lalu.

Asif Mohammad Khan ditahan pada petang Khamis, ketika dia cuba melarikan diri daripada polis.

Polis pada Sabtu memaklumkan, penyiasat pada mulanya mengesyaki ia adalah jenayah berunsur kebencian.

Bagaimanapun, kakak suspek, Samia Khan menafikan adiknya yang berusia 28 tahun itu bertindak sedemikian disebabkan kebencian, sebaliknya ia berpunca daripada penyakit skizofrenia yang dihidapinya sejak 2009.

Sehubungan itu, Samia memohon maaf bagi pihak adik dan keluarganya.

Jelasnya, beberapa hari sebelum kejadian itu berlaku, adiknya didapati tidak makan ubatnya.

Namun, ketika disoal siasat pada petang Jumaat, Asif Mohammad mengaku dia marah dengan seorang pekerja wanita di pusat itu yang sering mengejek dan membulinya.

Dia memberitahu detektif bahawa tindakannya itu bukan berpunca daripada pusat berkenaan, sebaliknya ia menyasarkan seorang wanita yang sering memandang rendah terhadapnya.

Asif Mohammad berdepan beberapa dakwaan, termasuk melakukan vandalisme yang menyebabkan kerugian lebih $10,000 ke atas Pusat Kebudayaan Islam Fresno dan sebuah pejabat perubatan berhampiran.

Selain tingkap yang pecah, polis menemui bendera Amerika yang disimbah cecair peluntur serta beberapa peralatan elektrik dan perabot yang rosak. – RakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.