Hanya 7 Tujuh Kematian Sejak Banjir Besar Melanda Kelantan

Kuala Lumpur – Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim mengesahkan hanya tujuh kematian sahaja dilaporkan sejak banjir besar melanda sembilan daerah di Kelantan.

Beliau ketika dihubungi The Rakyat Post berkata, keadaan di Kelantan terkawal walaupun beberapa daerah masih lagi dinaiki air.

“Angka kematian hanya tujuh orang.

“Kita tidak menerima apa-apa maklumat lagi setakat hari ini,” ujarnya.

Ditanya khabar angin yang tersebar kononya ramai menjadi mangsa banjir di negeri itu tetapi tidak dilaporkan, beliau berkata, orang ramai jangan mudah percaya dengan maklumat yang diperoleh daripada sumber yang tidak sahih.

“Banyak daerah terputus hubungan dan pihak polis serta agensi lain yang terbabit dalam kerja operasi menyelamat juga terputus hubungan.

“Kita tidak terima apa-apa laporan polis,” ujarnya lagi.

Buat masa ini polis dan agensi lain sedang berusaha untuk menyalurkan bantuan kepada semua mangsa yang terperangkap di daerah yang teruk di landa banjir seperti di Kuala Krai sejak tiga hari lalu.

Mazlan juga berkata air di daerah Kuala Krai menunjukkan tanda-tanda sudah surut ekoran hujan sudah berhenti sejak awal pagi hingga tengahari ini.

Ketika ditanya berkenaan kemungkinan lebih ramai mangsa korban banjir di Kelantan akan dikenalpasti apabila banjir surut kelak, beliau berkata :

“Kita tunggu banjir surut dulu jika ada keluarga yang datang untuk membuat laporan kehilangan ahli keluarga mereka,” ujarnya.

Negeri Kelantan masih mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 32,079 orang membabitkan 8,884 keluarga yang ditempatkan di 163 buah pusat pemindahan. – RakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.