Ayam Kampung Mati Tenggelam Banjir Kilat, Chegubard Kerugian RM30,000

Seremban – Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard mengalami kerugian kira-kira RM30,000 apabila perusahaan ayam kampung miliknya di Batu 5 1/2 Jalan Jelebu, di sini dinaiki air dalam kejadian banjir kilat, kelmarin.

Kejadian kira-kira 11 pagi itu menyebabkan lebih 200 ekor ayam kampung organik dewasa sedia untuk dijual serta lebih 700 ekor ayam yang dijadualkan keluar bulan depan, mati tenggelam dalam air.

Menurut Chegubard, hujan berterusan kelmarin, menyebabkan air sungai di depan ladang ayamnya itu dinaiki air sehingga paras lutut.

“Saya bergegas ke lokasi setelah dimaklumkan pekerja mengenai kejadian itu, tapi sebaik sampai air sudah sampai paras lutut.

“Air memang sangat laju semalam (kelmarin) dan hujan agak lebat. Saya cuba selamatkan ayam-ayam itu tapi semuanya sudah terlambat kerana reban sudah dinaiki air,” katanya di sini, semalam.

Malah, kejadian itu turut menjejaskan tanaman terung organik miliknya yang baru sahaja ditanam, selain kabin dijadikan pejabat dan tempat tidur pekerja dimasuki air lumpur.

Bekas Ketua PKR Cabang Rembau itu berkata, kejadian itu bukan pertama kali terjadi kerana dalam tempoh hampir dua tahun mengusahakannya kejadian sama sudah berlaku dua kali.

Kata Chegubard, sebelum ini sebanyak 150 ekor ayamnya mati, namun kejadian kali ini lebih teruk.

Beliau mendakwa  kejadian banjir itu berpunca daripada kegiatan mengorek pasir di sungai berhadapan kebunnya itu, sehingga  menyebabkan aliran sungai menjadi cetak.

“Apabila hujan lebat atau dan tempoh berterusan air akan cepat naik. Sebab itulah, ladang ayam saya yang berhampiran dengan sungai mudah dinaiki air,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.