2,515 Pencawang Elektrik TNB Dihentikan Sementara

Kuala Lumpur – Sebanyak 2,515 Pencawang Elektrik (PE) terpaksa dihentikan sementara di negeri-negeri yang teruk dilanda banjir setakat jam 4 petang hari ini, berbanding 2,473 jam 9 pagi tadi.

Pengurus Besar Kanan (Operasi Wilayah 2) Bahagian Pembahagian Tenaga Nasional Berhad (TNB) Abdul Aziz Abdul Majid, berkata 1,860 PE adalah di Kelantan manakala 152 lagi di Terengganu, 424 di Pahang dan 79 di Perak.

“Penghentian operasi pencawang-pencawang ini adalah bagi menggelakkan kejadian litar pintas,” kata Abdul Aziz yang juga Ketua Koordinator Pengurusan Banjir TNB dalam kenyataan beliau, Sabtu.

TNB juga telah memulihkan operasi di 421 PE di kawasan yang air banjir telah surut dan selamat iaitu 260 PE di Kelantan, Terengganu (36), Pahang (105) dan Perak (20).

Menurutnya, penghentian operasi PE sehingga petang ini melibatkan 179,466 pengguna iaitu meningkat daripada 155,383 pengguna pada 9 pagi tadi.

Jumlah pengguna paling ramai terjejas ialah di Kelantan iaitu sebanyak 151,610, diikuti Pahang (19,357), Terengganu (5,754) dan Perak (2,745), katanya.

Sehingga kini, TNB telah memasang 57 set janakuasa ke kawasan yang penting dan pusat perpindahan mangsa banjir yang boleh dilalui kenderaan di Terengganu,

Pahang, Perak dan Kelantan dengan 38 daripadanya sedang beroperasi.

“Di Kelantan, kami menghadapi kesukaran untuk menghantar dan mengoperasikan set janakuasa kerana keadaan banjir yang masih berlanjutan dan jalan yang boleh dilalui masih terhad.

“Di samping itu, 34 set janakuasa mudah alih telah pun berada di lokasi-lokasi tertentu. TNB akan terus memantau pepasangannya seperti PE di
kawasan yang terjejas banjir dan menutup bekalan elektrik sekiranya air terus mencecah paras bahaya,” katanya.

Beliau berkata lebih 1,000 warga kerja TNB sedang bertugas di Kelantan, Pahang, Perak dan Terengganu untuk tujuan itu.

Selain tugas pemantauan pepasangan, kemudahan TNB juga digunakan untuk membantu kerja-kerja pemindahan mangsa banjir ke pusat perpindahan.

Orang ramai boleh menghubungi talian TNB Careline di 15454 untuk maklumat lanjut mengenai perkhidmatan dan bekalan elektrik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.