Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, langkah tersebut perlu diteliti bagi memastikan setiap laporan berita yang dikeluarkan tidak hanya menyebelahi sesuatu pihak sahaja.

“Kerajaan dalam proses melihat boleh atau tidak kita menghadkan pemegangan saham dalam syarikat-syarikat media supaya perkara ini dapat kita elakkan. Tetapi apa yang perlu kita laksanakan adalah untuk membezakan di antara pemegang saham dan kawalan dalam syarikat-syarikat ini, itu yang kerajaan sedang buat kajian.

“Namun apa yang lebih penting untuk kita pastikan setiap laporan yang dikeluarkan bukan sahaja neutral tetapi laporan yang membawa gambaran dan berita yang benar kepada rakyat, itu yang kita mahu selain laporan yang mempunyai perbincangan mengenai isu-isu semasa supaya dapat mencorakkan pemikiran rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Tan Kok Wai (PH-Cheras) yang bertanyakan adakah perlu undang-undang baharu digubal bagi menghadkan pemegangan saham oleh ahli dan parti politik dalam syarikat media, dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, tambah Gobind Singh, kerajaan juga kini masih menunggu input-input daripada pengamal media selain menilai keperluan mewujudkan majlis media yang boleh membantu kerajaan untuk membuat keputusan dalam hal tersebut.- UTUSAN ONLINE.