Muhammad Adib Dipindahkan Ke IJN

SHAH ALAM – Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang kritikal akibat diserang kumpulan perusuh dalam kekecohan di kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, malam tadi.

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, keputusan itu dibuat berikutan IJN mempunyai kelengkapan yang sesuai dengan keadaan Muhammad Adib ketika ini.

Katanya lagi, ia juga diputuskan selepas perbincangan antara pakar perubatan IJN dan Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC). 

“Keputusan ini di ambil selepas Muhammad Adib menunjukkan sedikit perkembangan positif dan kelengkapan di SJMC tidak begitu sesuai bagi tujuan perawatannya. 

“Di IJN terdapat sebuah mesin yang boleh memberi rawatan tambahan bagi meningkatkan keupayaan kemasukan oksigen untuk mengaktifkan paru-parunya. 

“Jadi, kita buat keputusan untuk pindahkan Muhammad Adib sekitar pukul 10.30 malam tadi selepas mendapat persetujuan ibu bapanya,” katanya pada pemberita selepas melawat mangsa di SJMC sebelum dipindahkan ke IJN. 

Zuraida berkata, keadaan Muhammad Adib dilaporkan semakin stabil berbanding tengah hari semalam selepas lebih setengah hari mendapat rawatan di unit rawatan rapi (ICU).

“Tekanan darahnya juga semakin baik dan dia tidak sedarkan diri kerana diberikan sedatif,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi Selasa, Muhammad Adib, 24, diserang apabila pasukannya tiba di lokasi selepas mendapat maklumat sebuah kereta terletak di luar kuil terbakar. 

Muhammad Adib yang duduk di bahagian penumpang hadapan unit EMRS ditarik keluar oleh kumpulan perusuh sebelum dipukul beramai-beramai.

Akibat serangan tersebut, pemuda itu mengalami kecederaan parah dengan patah tulang rusuk dan terpaksa ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Pada ketika ini, berita mengenainya tular dengan rata-rata netizen berkongsi gambarnya di laman sosial dengan tanda pagar #DoaForMuhammadAdib. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.