Lelaki Mangsa Terbaru Jangkitan Rabies

KUCHING: Seorang lelaki berusia 21 tahun menjadi mangsa terbaru jangkitan rabies di negeri sejak wabak berkenaan mula menular sejak 30 Jun tahun lalu.

Mangsa yang menetap di Batu 7, di sini, menjadi mangsa ke-14 disahkan menghidap rabies di Sarawak, semalam selepas digigit anjing liar pada 4 Oktober lalu.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya, berkata mangsa selepas digigit tidak mencuci luka gigitan, malah tidak mendapatkan sebarang rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran.

“Mangsa hanya membeli ubat di farmasi untuk disapu di luka berkenaan. Pada 21 November lalu, mangsa mengalami sakit di bahagian belakang badannya dan mengadu jatuh sehari sebelumnya.

“Mangsa tidak memaklumkan bahawa dirinya pernah digigit anjing. Pada 24 November lalu, mangsa pergi mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) selepas mengalami lemah kedua-dua kakinya,” katanya.

Katanya, mangsa kemudiannya dimasukkan ke wad dan pemeriksaan mendapati beliau mempunyai gejala hydrophobia, aerophobia dan berada dalam keadaan keliru.

“Mangsa kini sedang menerima rawatan dan dalam pemerhatian rapi pakar-pakar klinikal HUS,” katanya.

Sehingga 25 November lalu, kerajaan negeri mengisytiharkan 54 kawasan di 11 bahagian di Sarawak sebagai kawasan jangkitan rabies. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.