Wany Hasrita Dituduh ‘Gedik’ Buat Parodi ‘Tak Tun Tuang’

PETALING JAYA — Dituduh gedik menyanyikan parodi “Tak Tun Tuang”, Wany Hasrita tidak mengambil pusing perkara itu.

Wany, nama popular Nurshazwany Hasrita Hasbullah, berkata walau segelintir pihak sahaja berasa begitu, namun lebih ramai selesa menerimanya.

“Banyak dapat terima tetapi mereka yang memang tidak suka sejak azali lagi, itu tidak boleh dihalang.

“Memang mereka akan mencari kesalahan, tuduh gedik dan sebagainya. Saya sudah biasa dan saya tidak mampu untuk memuaskan hati semua orang.

“Mereka yang tidak faham [perangai] gila-gila saya akan cakap gedik tetapi itu semua tidak ada apa-apa,” katanya petik MMO.

Penyanyi “Rintihan Rindu” beberapa minggu lalu membuat parodi “Tak Tun Tuang” nyanyian Upiak Isil.

Video yang dimuat naik pihak ketiga, dipercayai daripada Instagram Wany, turut menyaksikan beberapa versi “Tak Tun Tuang” dinyanyikannya.

Dalam perkembangan lain, Wany berkata belum ada lelaki yang datang berjumpa ibunya untuk melamar selepas dua minggu memberikan cabaran.

“Tidak ada pun. Itulah yang saya cakap kalau betul mereka serius, mereka akan jumpa ibu.

“Tidak perlu jumpa saya sebab saya rasa yang jumpa saya, semua main-main,” katanya.

ProjekMMO sebelum ini melaporkan Wany, 25, menggesa lelaki yang menaruh hati padanya agar lebih serius dan tidak hanya pandai memikat.

Katanya, mereka yang serius diminta berjumpa sendiri dengan ibunya Norita Jaafar kerana usianya kini sudah sesuai untuk berumah tangga.

Sementara itu, Wany berkata walau lagu duetnya bersama Tajul tidak mara ke Anugerah Juara Lagu (AJL) namun itu bukan pengakhiran bagi mereka.

“Kami sedar kami masih baru dan insya Allah tahun depan ada lagi rezeki kami. Kami akan cuba menghasilkan lagu yang terbaik.

“Tidak terpilih bukan bermakna kalah tetapi memberi semangat kepada kami menghasilkan yang lebih baik,” katanya.

Mempertandingkan “Menahan Rindu”, Wany akan berentap bersama 11 lagu lain dalam AJL yang akan diadakan Februari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.