Wanita Kongsi Detik Cemas Diragut

Seorang wanita berdepan detik cemas dan mengalami trauma selepas menjadi mangsa serangan penjenayah ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja kira-kira jam 6 petang, semalam.

Dalam kejadian di Lobak, Seremban, mangsa, Siti Syahirah Samsuri berkata ketika berhenti di lampu isyarat, dua lelaki tidak dikenali yang menunggang motosikal berkuasa tinggi secara tiba-tiba muncul dari arah belakang lalu memecahkan cermin tingkap belakang keretanya.

“Tak sempat nak buat apa-apa, dua lelaki memakai helmet (topi keledar) visor gelap, berjaket hitam, bersarung tangan gelap, pemboncengnya memecahkan tingkap belakang kereta penumpang belakang dan mengambil beg tangan saya.

“Segala barang berharga dalam beg memang habis kecuali telefon bimbit yang saya letakkan di sebelah pemandu dan beg laptop selamat sebab dua peragut itu tidak sempat nak ambil,” katanya dalam catatan di laman Facebook, semalam, petik MD.

Katanya, dia cuba untuk melawan dua peragut itu namun tidak mampu berbuat apa-apa apabila suspek bertindak mengacukan sesuatu.

Sejurus insiden tersebut, Siti Syahirah berkata dia yang dalam keadaan panik dan ketakutan segera menghubungi bapanya sebelum diminta untuk memandu kereta pulang ke rumah.

“Saya dah menggigil. Pandu kereta pun asyik masuk lorong sebelah sebab tak boleh fokus, panik dan ketakutan.

“Balik rumah, abah bawa pergi balai polis dekat dengan tempat kejadian. Rupa-rupanya, ada lagi seorang mangsa yang kena sama macam saya, 15 minit sebelum saya kena. Dan buat laporan, pegawai polis minta saya pergi ke IPD (Ibu Pejabat Daerah) untuk jumpa seorang inspektor,” katanya.

Tambahnya, sebaik sahaja tiba di IPD dia mendapati terdapat dua buah lagi kereta dipercayai menjadi mangsa insiden sama sedang menunggu untuk dirakam gambar.

“Sekarang tengah menunggu polis menjalankan siasatan. Malam tadi ada dua pegawai dari balai polis lain menghubungi saya untuk membantu siasatan kes ini. Siap ada pegawai hantar gambar untuk sahkan tempat kejadian. Terima kasih sangat-sangat di atas tindakan pantas PDRM,” jelasnya.

Siti Syahirah berkata, dia tidak menyangka insiden yang selama ini dilihatnya di Facebook menimpa dirinya sendiri.

Susulan kejadian tersebut, dia menasihati orang ramai terutamanya pemandu wanita supaya lebih berhati-hati dan menyimpan barang berharga di tempat selamat.

“Beg tangan tolong letak dekat tempat selamat, seperti dekat bonet. Bahaya di mana-mana.

“Saya sendiri pun tak menjangka boleh kena kejadian seperti ini. Berhati-hatilah, penjenayah ini masih bebas di luar sana. Saya masih terbayang bunyi tingkap pecah tadi. InshaAllah akan pulih,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.