Tengku Adnan Mohon Maaf Kenyataan Guris UiTM

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini memohon maaf secara terbuka kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM) atas kata-kata yang menimbulkan rasa tidak puas hati ramai.

Ujarnya, mungkin penggunaan perkataan ‘slow learner’ yang digunapakai oleh beliau menimbulkan rasa marah sesetengah pihak.

“Saya langsung tidak ada niat untuk merendahkan mana-mana pihak.

“Saya juga telah mohon maaf jika kata-kata saya mengguris hati sesiapa. Kepada sesiapa yang rasa terguris saya mohon maaf terhadap apa yang telah saya sebutkan,” katanya dalam satu sidang media di pejabat beliau di Menara Dato’ Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan itu mengadakan pertemuan khas dengan Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara (PAUiTM) berhubung isu berkenaan.

Pertemuan itu diketuai presidennya, Datuk Mohamad Zaini Hassan.

“Apa yang saya lakukan adalah kata-kata perangsang untuk pelajar. Itu yang selalu saya lakukan. Saya beri kesedaran kepada rakyat Malaysia bahawa kerajaan yang memerintah selama 60 tahun ini banyak jasa yang kadang kala kita ambil mudah.

Mengulas lanjut Tengku Adnan atau lebih dikenali sebagai Kunan berkata, beliau tidak berniat untuk mengguris hati sesiapa kerana kenyataan itu hanyalah kata-kata perangsang kepada pelajar universiti bahawa mereka perlu menjadi benteng dalam memastikan negara terus aman di masa akan datang.

“Paling penting sekali adalah kerajaan sediakan kita keselamatan, kita boleh lakukan segalanya dari segi cari rezeki dan perniagaan. Itu niat saya,” katanya.

Tengku Adnan membuat kenyataan itu ketika berucap pada majlis Anugerah Nadi Negara 2017 di Kuala Lumpur pada Ahad lalu.

“Anda dapat masuk universiti, kalau ‘slow learner’ (boleh) masuk ITM (UiTM). Kadang kala kalau tak dapat markah (secukupnya), markah akan diturunkan agar anda boleh masuk universiti.

“Ada kala kalau tak boleh masuk (universiti) di Malaysia, kita hantar ke luar negara. (Bila) Balik, tunjuk pandai dan marah UMNO,” katanya.

Justeru beliau berkata, mungkin ada pihak salah anggap mengenai kenyataan beliau yang pada mulanya ingin berkata bahawa UiTM ada menjanjikan peluang kedua kepada mahasiswa sekiranya tidak diterima memasuki mana-mana universiti.

“Barangkali kata-kata saya mengenai ‘slow learner’ itu orang salah anggap. Barang kali boleh sebut peluang kedua.

“Bila saya bercakap dan saya tidak tahu ada pula puak tertentu yang sengaja ambil kesempatan untuk melaga-lagakan saya dengan pihak UiTM.

“UiTM adalah satu institusi yang dibangunkan oleh kerajaan untuk membantu khususnya kepada kaum Melayu.

“Saya harap hentikan semua ini dan tidak payah kita nak bising-bising lagi. Saya sedar barangkali saya ini mulut celupar, jadi saya kena hati-hati,” jelas beliau. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.