‘Semoga Elyana Tak Putus Asa’

“SAYA ada dengar Elyana menghidap kanser kira-kira tiga tahun lalu daripada kawan-kawan tetapi tidak pernah bertanya sendiri. Lagi pun saya lihat dia ‘happy’ saja,” jelas Siti Nordiana Alias atau Nana mengenai kenyataan spontan Elyana menghidap kanser tahap empat selepas diumumkan tersingkir konsert Gegar Vaganza 4 (GV4), Ahad lalu.

Penyanyi dikenali melalui lagu Kalis Rindu itu menghidap kanser limfoma sejak tujuh tahun lalu tetapi tidak pernah patah semangat melawan penyakitnya meskipun doktor pernah beritahu hanya ada setahun untuk hidup.

Kata Nana, dia tidak pernah minta kepastian mengenai berita yang didengar itu daripada Elyana kerana bimbang perkara itu terlalu sensitif.

“Kalau bukan dia sendiri yang beritahu, memang sukar nak percaya dia sakit kerana sikapnya yang periang dan seperti tiada apa yang berlaku.

“Saya tidak terkejut kerana ada mendengar dari kawan-kawan. Betullah cakap mereka tetapi saya tak sangka penyakitnya sudah sampai tahapempat,” katanya.

Kata Nana, dia belum menghubungi Elyana kerana mahu memberi ruang kepadanya kerana tentu ramai yang bertanya dengannya.

“Saya mendoakan dia tidak putus asa, terus mencari penawar dan berfikiran positif.

“Elyana sangat kuat dan berharap semua rakan dan peminat terus memberikan sokongan dan jangan biarkan dia bersedih.

“InsyaAllah setiap penyakit mesti ada ubatnya,” katanya.

Nana dan Elyana mula berkawan ketika mereka bersama-sama bernaung di bawah syarikat rakaman FMC lebih 15 tahun lalu dan sehingga kini hubungan mereka masih rapat.

Artis lain yang turut akrab dengan Elyana atau Erneelya Elyana Emrizal, 30, ialah Syura dan Anita Baharom.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.