Seluar Dalam Jong-Nam Penuh Najis

SHAH ALAM – Seluar dalam lelaki Korea Utara, Kim Chol atau turut dikenali sebagai Kim Jong-nam dipenuhi dengan najis ketika mayatnya diperiksa di Jabatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 15 Februari lalu.

Pakar Perunding Perubatan Forensik, Dr. Nurliza Abdullah membe­ritahu Mahkamah Tinggi di sini semalam, keadaan tersebut merupakan tanda-tanda seseorang itu diracun.

“Pengeluaran najis ada­lah sebahagian daripada tanda-tanda keracunan dan dalam kes ini keracunan akibat agen saraf VX. Keracunan akibat agen saraf akan mengakibatkan seseorang itu mengalami kelumpuhan otot dan pergerakan otot juga akan berkecamuk.

“Akibat daripada kesan ini, najis akan terkeluar dengan sendirinya,” katanya sewaktu pemeriksaan utama oleh Ketua Unit Bicara dan Rayuan Jabatan Peguam Negara, Wan Shaharuddin Wan Ladin, lapor Utusan.

Saksi pendakwaan ke-19 itu berkata demikian dalam perbicaraan terhadap Siti Aisyah, 25, dan Doan Thi Huong, 28, yang didakwa membunuh Jong-nam, 45, bersama-sama empat individu yang masih bebas di Balai Berlepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Sepang kira-kira pukul 9 pagi, 13 Februari lalu.

Perbicaraan yang masuk hari ke-20 hari ini melibatkan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Terdahulu, saksi pendakwaan ke-18, Sarjan Shamsul Bahrin Abdullah, 42, yang bertugas di Balai Polis KLIA2 ketika pemeriksaan utama oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor, Muhamad Iskandar Ahmad memberitahu, Kedutaan Korea Utara hanya mengucapkan ‘terima kasih’ apabila diberitahu tentang kematian Kim Chol.

“Kira-kira pukul 4.50 petang, 13 Februari lalu, saya telah menghubungi Kedutaan Korea Utara untuk memaklumkan mengenai kematian warganegaranya. Panggilan saya dijawab oleh Kaunselor kedutaan yang memperkenalkan dirinya sebagai Kim Yu-song.

“Pada mulanya saya bercakap menggunakan bahasa Inggeris tetapi beliau suruh saya cakap dalam bahasa Melayu sebab dia faham. Selepas saya maklumkan mengenai kematian warganegaranya bernama Kim Chol dan memberikan nombor pasport serta memintanya untuk ke Jabatan Forensik Hospital Putrajaya untuk tujuan pengecaman, beliau hanya cakap ‘ya’ dan ‘terima kasih’,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin bersambung hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.