Penjawat Awam Melaka Dapat Bonus RM2,000

MELAKA — Kerajaan negeri Melaka hari ini mengumumkan lebih 4,000 penjawat awam di negeri itu bakal menerima bonus sebanyak RM2,000.

Ketua menteri Datuk Seri Idris Haron berkata bayaran itu akan dibuat dua kali tahun depan iaitu RM1,000 pada awal tahun dan RM1,000 lagi menjelang sambutan Aidilfitri.

“Bonus yang diberikan ini sebagai pengiktirafan kepada penjawat awam negeri atas khidmat bakti mendokong kemajuan serta melaksana sistem penyampaian perkhidmatan dengan cekap dan berkesan kepada rakyat,” katanya semasa membentangkan Bajet Negeri 2018 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, di sini hari ini.

Selain penjawat awam negeri, katanya, kerajaan negeri juga akan memberi insentif RM500 secara ‘one-off’ (sekali bayar) kepada guru yang akan bersara tahun depan dan pelajar yang mendapat semua A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Enjoy 20% Off AirAsiaX Flights When you buy a Samsung!
Advertisement

Katanya, selain itu, jemaah haji kali pertama yang berusia 60 tahun ke atas dan tidak berpencen serta golongan muda bawah 30 tahun yang terlantar setahun akibat kemalangan dan berkeluarga juga bakal menerima insentif secara ‘one-off’ RM500.

Idris berkata insentif secara ‘one-off’ antara RM100 hingga RM300 akan diberikan kepada anggota tentera kelahiran Melaka yang berhenti tidak berpencen, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) berusia 60 tahun ke atas dan nelayan berdaftar.

Selain itu, pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), ibu tunggal berusia 69 tahun ke atas dan bekas pekerja kontrak pihak berkuasa tempatan turut akan diberikan insentif secara ‘one-off’ antara RM100 hingga RM300.

Kerajaan Melaka membentangkan Bajet 2018 melibatkan peruntukkan berjumlah RM373.67 juta, merangkumi perbelanjaan mengurus berjumlah RM269.67 juta dan perbelanjaan pelbagai pemberian sebanyak RM104 juta. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.