PAU 2017: Tanam Mentaliti Untuk Menang Pru14

Minggu depan bermula 5 hingga 9 Disember akan diadakan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017. Seperti biasa ia akan menjadi tumpuan ramai, apatah lagi perhimpunan ini diadakan ketika negara bakal mengadakan pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Sebenarnya gendang PRU itu sudah lama dibunyikan. Hanya mereka yang sedar akan paluan gendang itu akan bersiap-sedia untuk menuju ke medan perang.

Kenapa medan perang? Kerana ia merupakan satu pertandingan yang sengit apatah lagi dalam keadaan iklim politik negara ketika ini yang sentiasa `panas’.

Suhu panas itu sudah lama dirasakan terutama ketika pembangkang yang diketuai oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad mula menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Namun malangnya serangan itu tidak berkesan sebaliknya Najib mendapat sokongan padu daripada rakyat dan kini tiba masanya semangat berkenaan dibawa ke dalam Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia Putra ((PWTC).

Jika pada tahun lepas PAU menyaksikan bagaimana api dalam sekam telah dibanteras, kini tiba masanya ahli-ahli UMNO menjadikan perhimpunan kali ini sebagai medan untuk mereka menzahirkan kesiapsiagaan berdepan dengan PRU14.

Apa yang penting pada PAU 2017 ini juga, semua ahli UMNO perlu mengukuhkan mentaliti mereka untuk menang PRU. Segala percakaran dalaman jika ada, harus diketepikan sebaliknya amalkan semangat kesepakatan dalam parti.

Jentera UMNO yang ada seharusnya berjuang habis-habisan untuk menentang pembangkang.

Dalam keadaan Pakatan Harapan sedang bergelut dengan pelbagai isu termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang mungkin dibubarkan kerana masih belum mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM), maka inilah peluang untuk UMNO dan Barisan Nasional khasnya membenam lawan.

Inilah masa untuk berjuang merampas semula Pulau Pinang serta Selangor dan pada masa yang sama mempertahankan pemerintahan di negeri yang ada.

Oleh yang demikian, ahli UMNO perlu bersama dengan aspirasi Presidan UMNO bagi membentuk pasukan terbaik untuk memastikan input-input penting disampaikan kepada semua ahli-ahli UMNO di seluruh negara demi mengenggam kemenangan.

Untuk rekod pada tahun ini, sebanyak 826 usul diterima daripada 191 UMNO bahagian di seluruh negara.
Daripada jumlah tersebut, 635 usul diterima untuk rujukan, 191 usul diterima tanpa bahas manakala tiada usul yang ditolak.

Daripada 635 usul yang diterima, 238 usul adalah politik, ekonomi (79), agama (40), sosial (97), pendidikan (114), satu usul melibatkan pindaan Perlembagaan dan 66 adalah lain-lain usul. –

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.